Tiada demonstrasi boikot KK Mart

26 Mar 2024 • 9:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian. (Hafiz Ariffin)

SHAH ALAM - Video tular kononnya berlaku insiden tersilap memboikot kedai serbaneka di ibu negara baru-baru ini adalah tidak benar.

Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, penularan gambar dan video itu telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak sehingga menimbulkan fitnah.

Menurutnya, ketika kejadian itu berlaku, ahli Pemuda UMNO berkumpul di situ selepas selesai menyantuni dan mengagihkan bantuan kepada peniaga di kawasan tersebut.

“Insiden yang tular di media sosial baru-baru ini adalah tidak benar. Tiada demonstrasi salah kedai dan memboikot KK Mart seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Kebetulan kami dijemput hadir dalam program anjuran Pemuda UMNO cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menyantuni peniaga,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada 16 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah ALLAH di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya sebelum tular di media sosial.

Pihak tersebut menjelaskan bahawa penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah ALLAH SWT di beberapa kedai rangkaian serbaneka KK Mart itu adalah produk konsainan oleh pihak vendor.

Susulan kejadian itu, mereka menjadi bahan ketawa apabila tersilap melakukan boikot di hadapan sebuah kedai serbaneka dengan nama yang hampir sama.

Mengulas lanjut, menurut Hafiz, niat mereka ialah untuk mengagihkan sumbangan kepada peniaga di sekitar kawasan tersebut, tetapi keadaan itu telah dimanipulasi oleh pihak lain.

Ujarnya, sebarang aktiviti demonstrasi perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa dan tidak boleh dibuat tanpa permit.

“Jika benar kami buat demonstrasi sudah tentu perlukan kebenaran pihak polis dan bukan sesuka hati boleh buat sebarang kekecohan di tempat awam,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28