MAKKAH – Dakwaan tular di media sosial kononnya pihak berkuasa Arab Saudi mengenakan denda 10,000 riyal (RM10,500) terhadap mana-mana individu yang mengambil gambar atau video di Masjidil Haram khususnya di hadapan Kaabah, selain ditahan dan dihantar pulang ke negara asal adalah tidak benar.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, jemaah dibenarkan mengambil gambar di kawasan Masjidil Haram termasuk di sekitar Kaabah, namun disarankan supaya tidak berbuat demikian ketika sedang melaksanakan ibadah.
Menurutnya, tindakan merakam video atau bergambar ketika tawaf dikhuatiri mengganggu tumpuan ibadah sendiri selain memberi kesan kepada kelancaran pergerakan jemaah lain.
“Tiada masalah untuk mengambil gambar di sekeliling Kaabah. Tetapi disarankan supaya mereka tidak berbuat demikian semasa melaksanakan ibadah.
“Masa tawaf jangan buat video dan sebagainya kerana itu mungkin mengganggu ibadah mereka. Untuk ambil gambar selepas tawaf atau di persekitaran Masjidil Haram, setakat ini tiada masalah,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di sini pada Ahad.
**media[3503545]**
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, operasi haji musim ini yang genap seminggu bermula secara rasmi sejak penerbangan pertama pada 18 April lalu berjalan lancar.
Setakat jam 10 pagi Ahad, seramai 7,489 jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci, dengan 2,630 orang berada di Makkah manakala 4,859 lagi di Madinah.
Menurutnya, sebanyak 25 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah mengikut jadual.
“Alhamdulillah, semua penerbangan berjalan lancar dan setakat ini tiba tepat pada waktunya,” katanya.
Beliau berkata, pergerakan jemaah dari Madinah ke Makkah turut berjalan seperti dirancang, membabitkan dua hingga tiga bas setiap hari mengikut kumpulan penerbangan masing-masing.
Katanya, bagasi jemaah dihantar lebih awal ke bilik penginapan, manakala setibanya di Makkah mereka diberi masa berehat sebelum dibimbing menunaikan umrah.
Mohd Hisham turut menasihatkan jemaah supaya sentiasa memakai dan membawa kad Nusuk kerana ia akan diperiksa pihak berkuasa Arab Saudi di beberapa lokasi termasuk sekatan jalan raya serta pintu masuk Masjidil Haram.
“Kad ini sangat penting. Jika tidak dibawa, ada kemungkinan jemaah ditahan dan disoal siasat,” ujarnya.
Mengulas isu jemaah tersasar atau sesat, beliau berkata, keadaan itu biasanya berlaku apabila jemaah masuk dan keluar melalui pintu berbeza di Masjidil Haram.
Sehubungan itu, jemaah disaran bergerak secara berkumpulan, menggunakan aplikasi peta dalam kumpulan WhatsApp masing-masing serta mendapatkan bantuan petugas Tabung Haji yang berkawal di sekitar kawasan masjid.
“Kalau tersasar, jangan panik. Duduk di tempat selamat dan hubungi pusat panggilan Tabung Haji supaya bantuan dapat disalurkan segera,” katanya.




