Jabatan Kimia mengesahkan bahawa tiada unsur asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir dalam mana-mana sampel sandwic pelbagai perisa yang dikaitkan dengan isu penyalahgunaan logo halal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, menjelaskan laporan rasmi daripada Jabatan Kimia menunjukkan semua sampel yang diperiksa bebas daripada DNA Porcine.
“Ada pihak yang bertanya mengenai DNA Porcine, laporan daripada Jabatan Kimia menunjukkan tiada unsur tersebut dalam semua sampel yang diperiksa,” katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan secara telus berdasarkan rujukan pihak berautoriti. Pendakwaan dibuat atas kesalahan melibatkan pelanggaran perundangan berkaitan.
Dalam isu logo halal, penggunaan sijil yang diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu dipastikan mengikut garis panduan yang ditetapkan. KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang penyalahgunaan dan menggalakkan orang ramai membuat laporan jika terdapat sebarang keraguan.
Menafikan dakwaan kelewatan tindakan, Armizan menjelaskan siasatan dan proses pendakwaan dilakukan dalam tempoh singkat. Isu ini mula tular pada 10 Januari, dan dalam tempoh tiga hari, pegawai penguat kuasa telah mengumpul bukti serta menghantar sampel ke Jabatan Kimia. Pada 20 Januari, laporan diterima dan kertas pendakwaan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pada 23 Januari, izin pendakwaan diperoleh, dan tindakan undang-undang diambil keesokan harinya.
Terdahulu, syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd dan pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas 14 pertuduhan berkaitan penyalahgunaan logo halal dan cap dagangan berdaftar.
Produk sandwic terbabit dijual di premis KK Mart dalam Universiti Malaya (UM), yang kemudian diarahkan tutup bagi siasatan lanjut. KK Mart telah membekukan urusan perniagaan dengan pembekal tersebut dan menghentikan penjualan produk berkenaan di semua cawangannya.
Sumber: Sinar Harian
The post Tiada DNA babi dalam sandwich ham & cheese – Menteri appeared first on The Reporter.



