
KUALA LUMPUR - Seorangc pemandu e-hailing wanita cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan remaja, termasuk dua gadis berusia 14 tahun, di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Khamis lalu selepas mereka gagal membayar tambang perjalanan.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 14 Mei lalu, mangsa berusia 41 tahun mengalami lebam dan bengkak di kepala, badan, kaki serta tangan, selain calar pada leher selepas diserang tiga daripada empat suspek terbabit.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku apabila mangsa mengambil empat penumpang, termasuk seorang pelajar sekolah, di kawasan Bukit Rambai.
Menurutnya, kumpulan itu terdiri daripada dua remaja perempuan berusia 14 tahun serta dua remaja lelaki masing-masing berumur 15 dan 17 tahun.
“Kesemua suspek menempah perkhidmatan Grab untuk ke Pekan Kuala Sungai Baru sebelum meminta mangsa berhenti di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru.
“Salah seorang suspek mendakwa mahu berjumpa rakannya di lokasi tersebut kerana tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, beberapa minit kemudian, tiga daripada empat suspek kembali ke kenderaan sebelum bertindak agresif menyerang mangsa menggunakan objek keras.
“Salah seorang suspek wanita dipercayai memukul mangsa menggunakan batang besi, manakala seorang lagi remaja perempuan menarik rambut mangsa.
“Suspek lelaki berusia 17 tahun pula dipercayai mencekik leher mangsa dari arah belakang,” katanya.
Tambah beliau, suspek lelaki berusia 15 tahun bagaimanapun melarikan diri dan tidak kembali ke kenderaan.
Mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan memandu keluar dari lokasi kejadian sebelum tampil membuat laporan polis.
“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami bengkak serta lebam di beberapa bahagian badan selain calar pada leher,” katanya.
Susulan kejadian itu, polis menahan kesemua remaja terbabit pada petang 14 Mei sebelum mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya. - Getaran, 19 Mei 2026






