
Tiada Gencatan Senjata Selagi Tawanan Tidak Dibebaskan – Biden
Presiden Amerika, Joe Biden menyatakan bahawa tiada gencatan senjata di Gaza selagi tawanan rakyat Israel tidak dibebaskan oleh Hamas, lapor Daily Mail.
Biden menegaskan perkara itu di White House sejurus selepas dua orang lagi tawanan warga Israel dibebaskan oleh Hamas.
“Kita mahu semua tawanan itu dibebaskan, kemudian baru kita akan bincang,” jawab Biden selepas ditanya berkenaan gencatan senjata.
Difahamkan, Israel menuntut pembebasan tawanan rakyat mereka yang dikatakan kira-kira 200 orang ketika konflik bermula 7 Oktober lalu.
“Saya minta maaf, saya perlu pergi ke Bilik Situasi untuk satu lagi isu yang perlu saya tangani,” akhiri Biden dalam temu bual yang sepatutnya membincangkan agenda ‘Bidenomik’nya.
Pada minggu lalu, dua tawanan Amerika dibebaskan selepas Biden berunding untuk membantu mendapatkan konvoi pertama bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Biden bercakap berkenaan isu itu selepas penunjuk perasaan menggesa gencatan senjata ke atas konflik yang berlaku di Gaza.
Sementara itu, jurucakap keselamatan negara White House, John Kirby berkata pada Isnin bahawa pembebasan tawanan adalah perkara paling penting buat masa ini.
Menurut Setiausaha Negara, Antony Blinken, angka terkini rakyat Amerika yang ditawan ialah seramai 10 orang.
Ketika taklimat itu berlangsung, Biden digesa oleh PBB untuk gencatan senjata kemanusiaan dilakukan segera.
“Apa yang kita mahukan sekarang ialah memastikan Israel mempunyai kelengkapan yang diperlukan untuk mempertahankan diri dan mengalahkan Hamas. Dan barulah bantuan kemanusiaan juga akan terus disalurkan.
“Sekarang perkara itu telah bermula dan ia adalah perkara yang baik. Kami mahu mengekalkannya dan memastikan ia diteruskan. Itu yang kami fokuskan,” jawab Biden berkenaan soalan gencatan senjata.
Selain itu, Biden juga tidak menjawab secara langsung sama ada Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dalam konflik tersebut.
Dalam pada itu, Biden juga dikatakan telah mendapat sokongan daripada Pope Francis dalam isu tersebut.
“Pope menyokong penuh,” kata Biden.
Menurut kenyataan White House pada Ahad lalu, Biden mengutuk serangan oleh Hamas terhadap orang awam Israel.
Beliau menegaskan bahawa terdapat keperluan untuk melindungi orang awam di Gaza dan membincangkan usaha untuk memastikan penghantaran makanan dan ubat ke Gaza.
Sumber: Daily Mail
The post Tiada Gencatan Senjata Selagi Tawanan Tidak Dibebaskan – Biden appeared first on Siakap Keli.
