Tiada insiden, Thaipusam 2026 di Pulau Pinang terkawal

LocalPolitics
1 Feb 2026 • 11:54 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azizee (tengah) memberi air minuman kepada penganut Hindu yang singgah di panthel PDRM di Jalan Kebun Bunga pada Ahad.

GEORGE TOWN – Sambutan perayaan Thaipusam 2026 di Pulau Pinang setakat Ahad berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal tanpa sebarang insiden atau laporan polis diterima.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, situasi itu adalah hasil kerjasama baik penganut Hindu serta semua pihak terlibat yang mematuhi garis panduan keselamatan ditetapkan sepanjang tempoh sambutan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak agar terus mematuhi arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya menghentikan semua aktiviti muzik selewat-lewatnya jam 11 malam bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Menurutnya, setakat jam 10.46 pagi Ahad, sambutan Thaipusam berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.

“Pihak polis menugaskan seramai 1,128 pegawai dan anggota secara berperingkat selama 24 jam bagi memastikan kelancaran sambutan Thaipusam tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Program Community Policing sempena Thaipusam 2026 di Jalan Kebun Bunga, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, perarakan pedati dijangka bergerak keluar dari kawasan Kebun Bunga pada malam Isnin sebelum tiba semula di Kuil Jalan Queen sekitar jam 7 atau 8 pagi pada Selasa.

Mengulas kehadiran pengunjung, Azizee berkata, pihak polis menganggarkan kira-kira 200,000 pengunjung hadir sejak Sabtu hingga pagi Ahad, manakala jumlah itu dijangka meningkat antara 500,000 hingga 1 juta orang pada petang hingga malam Ahad.

“Anggaran ini tidak statik kerana berlaku pertukaran pengunjung sepanjang tempoh sambutan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan semua gerai dan panthel yang beroperasi sepanjang sambutan perlu mematuhi syarat permit yang ditetapkan.

“Sebanyak 182 gerai atau panthel telah diberikan permit oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan setakat ini tiada sebarang isu atau aduan diterima pihak polis,” ujarnya.

Beliau berkata, walaupun sambutan Thaipusam tahun ini dijangka kekal aman dan terkawal, pihak polis tetap bersiap siaga dengan penugasan 10 Unit Tempur Ringan (LSF) bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita berharap penganut Hindu dan orang ramai terus memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi semua arahan demi menjaga keharmonian serta ketenteraman awam,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved