Tiada kaitan VVIP! Ibu Zara Qairina nafi keluar kenyataan, mohon henti spekulasi

LocalPolitics
2 Aug 2025 • 4:05 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir menegaskan beliau tidak pernah mengaitkan kematian anaknya dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau dikenali sebagai VVIP.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh dua peguamnya, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri pada Sabtu, mereka memaklumkan bahawa sebarang dakwaan atau andaian sedemikian adalah tidak berasas dan tidak pernah dikeluarkan oleh anak guam mereka, Noraidah Lamat, 45.

“Kami dengan ini menyatakan bahawa anak guam kami, ibu kepada Zara, tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian Zara dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau dikenali sebagai VVIP.
“Sebarang andaian atau dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam kami,” kata kenyataan itu.

image is not available

Ibu Zara Qairina nafi keluar kenyataan

Kenyataan itu juga menafikan dakwaan kononnya Noraidah mengetahui tentang jeritan “kau pembunuh” terhadap seorang pelajar tertentu pada hari kejadian.

“Perkara ini hanyalah diketahui oleh anak guam kami menerusi hantaran yang tular di media sosial,” ujar mereka.

Selain itu, mereka turut menafikan dakwaan bahawa Noraidah menyatakan tiga pelajar telah dipindahkan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha pada hari kejadian.

“Anak guam kami juga tidak ada mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat tiga pelajar sekolah telah dipindahkan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha pada hari kematian Zara.
“Maklumat tersebut hanya diketahui oleh anak guam kami selepas ia tular di media sosial,” tambah mereka.

image is not available

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk menghentikan segala spekulasi serta penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.

“Tindakan menyebarkan dakwaan palsu boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak.
“Sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan polis boleh disalurkan kepada pihak polis atau kepada kami,” katanya.

image is not available

Allahyarham Zara Qairina, 13, meninggal dunia pada 17 Julai lalu, sehari selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.

Kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, termasuk dakwaan wujud unsur buli hingga timbulnya tanda pagar #JusticeForZara sebagai solidariti mendesak siasatan telus.

Sumber: FB Marhamah Rosli