Tiada kejadian sorok minyak masak paket seperti tular - KPDN Johor

23 Apr 2024 • 3:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular memaparkan insiden minyak masak paket bersubsidi di sebuah pasar raya di Iskandar Puteri.

JOHOR BAHRU - Tiada aktiviti menyorok minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) seperti didakwa menerusi video tular yang berlaku di sebuah pasar raya di Iskandar Puteri, baru-baru ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya mengambil maklum video mengenai video tular itu dan mengarahkan anggota penguat kuasa ke pasar raya berkenaan.

Jelasnya, berdasarkan keterangan pengurus pasar raya dan pemantauan dilakukan, tiada unsur sorokan atau dakwaan mengutamakan warga asing membelinya minyak masak peket berbanding rakyat tempatan,

"Siasatan dilakukan mendapati minyak masak paket bersubsidi diletakkan di rak terbuka di pasar raya itu, sekali gus menjadi rebutan pembeli.

"Selain itu, pasar raya berkenaan turut mengakui hanya menerima 240 paket minyak masak bersubsidi. Jumlah itu bagi KPDN sangat sedikit berbanding premis yang besar dan dikunjungi ramai pembeli," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum itu tular, video berdurasi dua minit lapan saat tular didakwa mempertikaikan warga asing membeli minyak masak paket bersubsidi berbanding rakyat tidak dapat membeli barangan itu.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata, pengadu sewajarnya membuat laporan terus kepada KPDN.

"Jika hanya ditularkan, kita bimbang bukti yang ada akan dihapuskan sesetengah pihak seterusnya menyebabkan penguat kuasa gagal menemui bukti berlaku aktiviti penyorokkan atau salah laku berlaku," ujarnya.

Beliau menegaskan KPDN sentiasa memantau isu minyak masak paket bersubsidi memandangkan banyak aduan berhubung barangan keperluan itu sukar diperoleh pengguna.

"KPDN Johor telah bertemu dengan 20 syarikat pembungkus minyak masak paket di negeri ini dan mereka jaminan untuk memastikan bekalan barangan itu sentiasa mencukupi," katanya.

Pada Januari lalu, Menteri KDPN Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi namun mereka tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!