
PUTRAJAYA: Lebih 656,000 pengguna elektrik di Sabah dan Labuan tidak akan terlibat dengan kenaikan tarif bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 susulan pelaksanaan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).
Suruhanjaya Tenaga (ST) menerusi kenyataan memaklumkan pengguna domestik dan bukan domestik yang dikecualikan daripada surcaj ICPT terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam kategori tarif komersial dan industri voltan rendah.
Sementara itu, pengguna bukan domestik di Sabah dan Labuan yang merangkumi kategori tarif voltan rendah, sederhana dan tinggi yang antaranya terdiri daripada komersial dan industri pula akan dikenakan surcaj ICPT secara penuh pada kadar 10.04 sen setiap kilowatt per jam (kWj).
“Kerajaan memperuntukkan subsidi RM212.20 juta sepanjang tempoh enam bulan itu bagi menampung kos penjanaan elektrik untuk memastikan tiada kenaikan tarif berlaku,” menurut ST di sini pada Rabu.
ST dalam kenyataan itu memaklumkan semakan ICPT dari 1 Julai hingga 31 Disember ini mendapati berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan elektrik dianggarkan sebanyak RM292.05 juta atau bersamaan dengan surcaj ICPT pada kadar 10.04 sen/kWj. – Bernama
Peningkatan kos itu berikutan kenaikan kos bahan api diesel dan medium fuel oil (MFO) yang merupakan sebahagian daripada bahan api penjanaan elektrik di Sabah dan Labuan selain gas asli yang berpunca antaranya daripada krisis tenaga global di luar kawalan kerajaan.
Orang ramai digalakkan mengamalkan penggunaan elektrik dengan bijak melalui penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga, memastikan suis ditutup apabila tidak digunakan serta melaksanakan penyelenggaraan terhadap peralatan elektrik secara berkala.
Menurut ST, usaha itu secara tidak langsung akan menggalakkan pengguna menyumbang kepada pengurangan jejak karbon negara selaras dengan Dasar Tenaga Negara 2022-2040.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

