Tiada keperluan bentang RUU lompat parti sebelum bubar

Politics
12 Oct 2022 • 5:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
SAARANI

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak akan mengadakan persidangan khas bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan lompat parti sebelum ia dibubarkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, RUU tersebut boleh dibentangkan kemudian selepas pilihan raya.

"Tak ada keperluan mendesak (untuk bentang RUU lompat parti) sebab ia masih boleh dibentangkan dalam sidang-sidang Dewan Negeri selepas pilihan raya," katanya ringkas ketika Sidang Media Khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Saraani berkata demikian sebagai mengulas gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin yang mahu RUU berkaitan lompat parti dibentang dan diluluskan sebelum PRU15.

Zhemin dalam satu kenyataan pada Rabu mencadangkan perkara berkenaan kerana melihat undang-undang ini penting bagi mengelak berlaku sebarang pengkhianatan yang pernah berlaku beberapa kali dalam sejarah politik di negeri Perak selepas pilihan raya.

Jelasnya, Saarani boleh memanggil satu Sidang DUN tergempar berdasarkan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Perkara 8 untuk membentangkan RUU berkenaan yang kemudian dibahas dan diluluskan dalam masa sehari.

Beliau juga yakin RUU berkenaan boleh mendapat sokongan lebih 2/3 daripada ADUN Perak.