Tiada keperluan laksana Perjanjian Malaysia baharu: Azhar

LocalPolitics
6 Jul 2022 • 4:26 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Cadangan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit, disifatkan tidak menghormati serta menyinggung perasaan rakyat di negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Azhar Matussin (gambar), berkata Mohamad (Tok Mat) sepatutnya menggesa agar Umno dan Barisan Nasional (BN) merealisasikan hak serta tuntutan negeri Sabah seperti mana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, MA63 harus ditunaikan dengan apa cara sekalipun kerana ia adalah asas kepada titik permulaan kejayaan, namun sehingga hari ini tidak pernah direalisasikan mereka.

“Rakyat Sabah sangat terkejut dengan kenyataan ini yang mencadangkan MA63 perlu diperbaharui untuk mengembalikan semula hak serta keistimewaan negeri Sabah.

“Perlu diingat…..MA63 ialah satu perjanjian yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dengan United Kingdom.

“Tok Mat harus tahu bahawa MA63 mesti dihormati manakala segala isi kandungan perjanjian ini wajib dilaksanakan mengikut persetujuan dalam dokumen berkenaan,” katanya dalam kenyataan, Isnin.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Darau mengulas kenyataan media Timbalan Presiden BN itu pada Konvensyen BN Sabah yang berlangsung di ITCC Penampang, Sabtu lalu.

“Isu MA63 ini sudah terlalu lama…..Pelbagai alasan yang tidak munasabah sama sekali digunakan untuk mengelak melaksanakan perjanjian ini.

“Saya tidak nampak keperluan untuk memperbaharui perjanjian tersebut,” katanya.

Azhar berkata, seluruh pucuk kepimpinan Parti Warisan selaku parti memperjuangkan hak-hak Sabah membantah sekeras-kerasnya cadangan untuk memperbaharui MA63 ini.

“Ini digunakan hanya sekadar ‘gula-gula’ politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU15) dijangka berlaku tidak lama lagi,” katanya.

Azhar menasihatkan Tok Mat selaku Timbalan Presiden Umno menyelesaikan terlebih dahulu masalah Perhimpunan Agung Tahunan Umno yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini, sebelum mencadangkan perkara tersebut.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.