
KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi, sebaliknya kementerian itu wajar dimansuhkan dan fungsinya diserap ke dalam kementerian sedia ada.
Ini termasuk Kementerian Kewangan (MoF) yang sudah diberi tanggungjawab melaksana penyasaran rasionalisasi subsidi selain Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang menumpukan rundingan dalam isu tarif.
Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan bilangan menteri, malah menjimatkan kos pengurusan kerajaan.
“Saya berpandangan, jika Perdana Menteri tidak berhasrat untuk melakukan rombakan Kabinet, maka adalah lebih baik Kementerian Ekonomi dimansuhkan. Fungsinya boleh dibahagikan kepada kementerian lain seperti MoF, MITI dan agensi pelaksana lain.
“Ini lebih menjimatkan dan praktikal daripada mengekalkan kementerian yang dasarnya sebelum ini pun kurang menyerlah.
“Contohnya, inisiatif seperti PADU dan projek vending machine (mesin layan diri) yang diperkenalkan sebelum ini tidak memberi impak besar,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Tawfik berkata tindakan Rafizi meletak jawatan adalah satu keputusan berani, namun masa yang dipilih tidak bersesuaian.
“Peletakan jawatan ini berlaku sehari selepas Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN, dan ini mencalarkan sedikit imej negara yang sedang dibina oleh kerajaan.
“Tindakan ini dilihat lebih bersifat peribadi dan tidak mencerminkan jiwa besar sebagai seorang pemimpin negara,” katanya.
Namun begitu, beliau berpandangan tindakan Rafizi tidak akan memberi impak besar terhadap kestabilan PKR.
“PKR telah melalui pelbagai cabaran termasuk perpecahan sewaktu era Datuk Seri Azmin Ali, namun parti tetap bangkit dan kini menerajui kerajaan,” katanya.
Sementara itu, pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan turut menjangkakan tiada keperluan untuk rombakan Kabinet kerana Kementerian Ekonomi tidak memainkan peranan utama dalam dasar-dasar ekonomi negara.
“Malah fungsi penting seperti rasionalisasi subsidi petrol pun kini dikendalikan oleh MOF.
“Dasar berkaitan tarif pula banyak dilaksanakan oleh MITI di bawah Tengku Datuk Seri Zafrul,” katanya
Beliau juga berpandangan tidak akan berlaku ‘turnmoil’ dalam dasar-dasar ekonomi negara kerana tak banyak datangnya dari Kementerian Ekonomi.
“Cuma Rancangan Malaysia Ke-13 terkait kementerian ekonomi, sebahagian besar tanggungjawabnya, tapi itu juga merentasi kementerian-kementerian lain yang boleh ambil alih tugas termasuk pemantauan.
“Jadi boleh dimansuh sahaja (Kementerian Ekonomi) atau dilantik orang baharu kalangan pimpinan dalam parti PKR, katanya.
Terdahulu Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuatkuasa 17 Jun ini.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Peletakan jawatan ini akan berkuatkuasa dari 17 Jun, bermula hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun," katanya.
Rafizi sebelum ini tewas pemilihan PKR peringkat Pusat bagi jawatan nombor dua parti kepada Nurul Izzah Anwar. - 28 Mei, 2025
The post Tiada keperluan rombak Kabinet, mansuh sahaja Kementerian Ekonomi: penganalisis appeared first on Scoop.
