
SIBU - Kerajaan masih belum di peringkat perlu memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata, ia disebabkan momentum pemulihan ekonomi kukuh dengan pertumbuhan 6.9 peratus pada separuh pertama tahun ini, selain disokong peningkatan permintaan dari dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.
“Sehubungan itu, kerajaan yakin ekonomi negara akan mencatat unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus bagi tahun 2022,” katanya.
Mohd Shahar dilaporkan berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST semasa sesi libat urus Kementerian Kewangan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak di sini, malam tadi.
Sesi libat urus itu diadakan sebagai antara usaha kementeriannya bagi mendapatkan input dan maklum balas daripada komuniti perniagaan untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2023.
Beliau berkata, bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara, fokus kerajaan dalam bajet akan datang adalah kepada inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutama melalui peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan dan rantaian nilai berkaitan serta memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan di masa depan.
Jelasnya, paras inflasi negara bagi enam bulan pertama tahun 2022 adalah pada kadar 2.5 peratus, jauh lebih rendah daripada negara lain, malah kekal terkawal berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan.
Katanya, langkah kerajaan untuk meneruskan dan menambah baik subsidi menyebabkan perbelanjaan untuk bantuan serta subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion, berbanding RM31 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2022.
“Tanpa subsidi disediakan untuk barangan asas, dianggarkan inflasi akan melonjak kepada 11.4 peratus,” jelas beliau. - Bernama


