
SANDAKAN: Tiada kes pemburuan haram orang utan direkodkan di Sabah sejak tahun 2020 menunjukkan jenayah hidupan liar melibatkan orang utan di negeri ini berada pada tahap sifar.
Bagaimanapun, pada tahun ini sahaja, Pusat Pemulihan Orang Utan menerima lima ekor orang utan yang diselamatkan kerana ditinggalkan oleh ibu orang utan, mengalami kecederaan dan ditemui di dalam hutan terpencil.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, Pusat Pemulihan Orang Utan kini lebih berfokus pada operasi menyelamat orang utan atas sebab semulajadi, konflik dan kekurangan habitat.
“Sehubungan dengan itu, saya amat berharap bahawa jenayah hidupan liar melibatkan orang utan akan terus kekal pada tahap sifar.
“Selain daripada itu, saya mengharapkan agar orang ramai dapat membantu Jabatan Hidupan Liar dalam mengurangkan insiden orang utan yang digigit anjing serta menyebarkan mesej kesedaran untuk sama-sama melindungi khazanah negeri Sabah,” katanya.
Jelasnya, pendedahan mengenai orang utan ini juga telah disampaikan kepada semua pihak berkepentingan untuk memantau kehadiran orang utan di habitat yang berdekatan dengan mereka, dengan harapan dapat membantu jabatan dalam usaha pemeliharaan orang utan.
Ucapannya disampaikan Pengarah Jabatan Hidupan Liar, Augustine Tuuga semasa majlis penutupan sambutan Minggu Kebajikan Orang Utan di Perkarangan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, di sini, pada Isnin.
Sambutan tersebut merupakan salah satu aktiviti kempen kesedaran sebagaimana diperincikan dalam Pelan Tindakan Orang Utan Untuk Sabah 2020- 2029 yang bertujuan memberi pendedahan mengenai orang utan dan habitatnya.
Program itu dilaksanakan sejak 13 November dan berakhir hari ini (21 Nov) menandakan bahawa Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok telah mengadakan pelbagai aktiviti selama 8 hari untuk meningkatkan kesedaran pengunjung.
Program turut disambut dengan meriah di SK Kota Kinabatangan pada 16 November 2023, sebuah sekolah yang terletak berdekatan dengan habitat orang utan di daerah Kinabatangan.
Antara aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang Minggu Kesedaran Orang Utan adalah “Adopt Orang utan”, pengedaran poster di daerah Kinabatangan dan sekitar Sepilok, sesi zumba, Orang utan Walk sejauh 3 kilometer, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan membuat Arca Orang utan.
Pada tahun ini, program ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Hidupan Liar, Majlis Perbandaran Sandakan, Orang utan UK Appeal dan HUTAN dengan tema ‘Penjaga Hutan: Memperkasa Komunti untuk pemuliharaan’.
Tema ini menyoroti peranan komuniti tempatan dan sektor swasta dalam melindungi Orang utan agar terus hidup di habitatnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.




