
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes Ebola dikesan di negara ini meskipun wabak melibatkan strain Bundibugyo semakin membimbangkan di Republik Demokratik Congo (DRC) dan Uganda.
Bagaimanapun, KKM memaklumkan, langkah kesiapsiagaan dan pemantauan kesihatan awam di seluruh negara telah dipertingkatkan susulan kebimbangan terhadap kemungkinan penularan rentas sempadan melalui perjalanan antarabangsa.
Menurut kementerian itu, operasi pemantauan kini dipergiat terhadap pengembara yang memasuki Malaysia dari Uganda dan DRC, termasuk mereka yang transit melalui hab antarabangsa utama seperti Dubai, Doha dan Singapura.
“Buat masa ini, tiada penerbangan terus dari kedua-dua negara terbabit ke Malaysia.
“Langkah pemantauan dan saringan terus diperkukuh bagi tujuan penilaian risiko kesihatan awam serta pelaksanaan langkah pencegahan awal,” jelas kementerian.
KKM memaklumkan, tahap kesiapsiagaan telah diperkukuh di semua pintu masuk antarabangsa termasuk lapangan terbang dan pelabuhan, manakala sistem pengawasan penyakit berjangkit sedia ada terus dipertingkat bagi memperkukuh keupayaan pengesanan awal.
Selain itu, semua fasiliti kesihatan di seluruh negara diarahkan memperketat protokol pengesanan kes, pengasingan dan pengurusan jangkitan yang disyaki, termasuk pematuhan ketat terhadap prosedur Pencegahan dan Kawalan Jangkitan (IPC).
Kementerian itu turut meningkatkan kesiapsiagaan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) serta program latihan petugas kesihatan bagi memastikan negara bersedia bertindak pantas sekiranya terdapat kes disyaki.
Malaysia juga sedang memperkukuh kapasiti diagnostik makmal menerusi kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan.
Ebola amat mudah berjangkit dan boleh membawa maut, menerusi penyebaran virus melalui sentuhan rapat dengan darah atau cecair badan individu dan haiwan yang dijangkiti.
Antara gejala biasa penyakit itu ialah demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, muntah dan cirit-birit, manakala kes yang lebih serius boleh menyebabkan pendarahan dalaman atau luaran.
KKM menasihatkan, individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara terjejas perlu segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit badan, muntah atau pendarahan dalam tempoh 21 hari selepas pulang ke Malaysia.
Amaran itu susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 17 Mei lalu bahawa wabak Ebola telah diklasifikasikan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Yang Membimbangkan Antarabangsa (PHEIC).
Menurut WHO, sehingga 16 Mei, sebanyak lapan kes disahkan melalui ujian makmal, 246 kes disyaki dan 80 kematian disyaki dilaporkan di wilayah Ituri, DRC.
WHO turut mengesahkan dua kes Ebola melalui ujian makmal, termasuk satu kematian, di Kampala, Uganda yang melibatkan individu dengan sejarah perjalanan dari DRC.
Pihak berkuasa kesihatan global kini bimbang pergerakan serantau yang berterusan serta perjalanan antarabangsa berpotensi meningkatkan risiko penularan lebih meluas sekiranya usaha membendung wabak tidak dipertingkatkan segera. - Getaran, 20 Mei 2026


