‘Tiada Kompromi Untuk Pembuli’, PM Arah Tindakan Tegas Untuk Setiap Kes

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 8:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Tiada Kompromi Untuk Pembuli’, PM Arah Tindakan Tegas Untuk Setiap Kes

BUKIT MERTAJAM - Tiada ruang kompromi tersedia untuk gejala buli di sekolah dan serentak dengan itu, sikap angkuh, gemar menindas serta menjatuhkan maruah orang lain tidak boleh dibiarkan berakar dalam sistem pendidikan negara.

Menegaskan perkara tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan membuli tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi jika dilakukan atas dasar rasa lebih kuat atau lebih berkuasa daripada orang lain.

“Anak-anak, jangan membuli dan jangan sombong. Bayangkan kalau orang yang mempunyai perangai seperti ini menjadi pemimpin kita pada masa depan, rosak negara.

“Sebab itu saya sangat tegas. Tidak ada tempat dalam sekolah kita untuk orang yang angkuh dan membuli orang lain hanya kerana dia sedikit lebih kuat.

“Jangan kompromi. Jangan kompromi,” katanya ketika sesi Temu Anwar di Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Mengkuang, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, guru dan pensyarah juga tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang bentuk buli serta perlu memainkan peranan memastikan perbuatan itu tidak menjadi budaya dalam institusi pendidikan.

Tegas beliau, pendidikan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu membentuk pelajar yang mempunyai adab, akhlak dan nilai kemanusiaan.

Dalam masa sama, Anwar mengingatkan masyarakat supaya tidak menilai keseluruhan sesebuah sekolah berdasarkan perbuatan segelintir pelajar yang terbabit dalam kes buli.

Beliau berkata, laporan mengenai kes berkenaan lazimnya memberi tumpuan kepada individu yang melakukan kesalahan, sedangkan sebahagian besar pelajar lain tidak terbabit.

“Kadang-kadang kita baca, sebuah sekolah ada 1,000 pelajar, tetapi hanya empat terbabit dalam kes buli yang serius. Media melaporkan empat orang itu, tetapi tidak melaporkan baki 996 pelajar yang lain.

“Bukan saya tidak peduli terhadap empat orang itu, tetapi saya mahu tegaskan, jangan membuli. Itu bukan budaya kita,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kebimbangan orang ramai terhadap peningkatan kes buli perlu ditangani secara serius, namun tindakan segelintir individu tidak wajar dijadikan gambaran terhadap keseluruhan warga sesebuah sekolah.

Beliau berkata, usaha membanteras buli turut berkait rapat dengan nilai kemanusiaan dan semangat kemerdekaan, terutama dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

“Kita dilahirkan dengan warna kulit, bangsa, budaya dan agama yang berbeza. Tidak ada agama yang mengajar kita untuk menghina orang lain,” katanya.

Anwar berkata, perbezaan agama dan latar belakang tidak boleh dijadikan alasan untuk merendahkan atau mengaibkan pihak lain, sebaliknya rakyat perlu belajar memahami dan menghormati antara satu sama lain.

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dalam beberapa hari lagi, beliau turut mengajak rakyat Malaysia kembali menghayati semangat perpaduan dan persaudaraan yang menjadi asas perjuangan kemerdekaan negara.

Ketika berucap pada program sama kemudian, Perdana Menteri berkata, perjuangan menuntut kemerdekaan dibina atas semangat kebersamaan dan hidup secara aman, bukannya dengan meniup sentimen perkauman atau permusuhan agama.

“Tidak ada usaha menjatuhkan kaum lain atau menggunakan isu kaum dan agama sebagai senjata untuk meraih keuntungan politik murahan. Kita bersatu sebagai rakyat Malaysia dan berganding bahu demi kebaikan bersama,” katanya.

Beliau berkata, perjuangan mendapatkan hak memerintah sendiri diasaskan atas nilai toleransi dan saling menghormati, yang sepatutnya terus menjadi pegangan rakyat negara ini.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan bahawa seorang pemimpin tanpa integriti, ilmu dan kemahiran baharu boleh terjerumus dalam penyebaran berita serta maklumat palsu.

Beliau berkata, keadaan itu menjadi lebih berbahaya apabila kelemahan sendiri cuba disembunyikan menerusi usaha mengelirukan dan memperdayakan rakyat.

“Tanpa integriti, ilmu dan kemahiran baharu, seorang pemimpin mungkin akhirnya memperjuangkan berita dan pengetahuan palsu. Untuk menutup kelemahan, dia boleh menjalankan misi yang mengelirukan demi memperdayakan rakyat,” katanya. - Getaran, 28 Ogos 2026

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved