Tiada Kompromi Untuk Pihak Sengaja Cetuskan Isu 3R - Menteri

16 Apr 2024 • 5:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Logo pada tapak kasut jenama Vern’s yang dikatakan menyerupai kalimah Allah - gambar fail

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencetuskan sebarang isu  mengandungi unsur 3R (raja, agama dan kaum) di masa akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan memandang serius terhadap beberapa insiden yang telah berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan sensitiviti umat Islam.

image is not available
Dr Mohd Na’im Mokhtar - gambar fail

Menurut beliau, perkara ini semakin membimbangkan kerana telah menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. 

“Bermula dengan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang dijual oleh pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, isu logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah yang dijual oleh pihak Vern’s Holding Sdn. Bhd. dan yang terkini isu penjualan sejadah mini dengan tanda label yang mengelirukan dijual di AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON Big) yang dibekalkan oleh A&R Fashion Collection (A&R).

“Perkara ini telah diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pihak-pihak yang terlibat berlandaskan undang-undang di negara ini,” katanya.

Mohd Na’im berkata, kerajaan dalam hal ini menasihatkan seluruh masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa supaya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas, 26 Februari  lalu. 

image is not available
Sejadah mini yang didakwa sebagai alas kaki kerana diletak berhampiran tempat alas kaki di Aeon Big Batu Pahat - gambar Facebook

“Baginda telah menekankan tentang kepentingan hubungan perpaduan antara kaum dan semua lapisan masyarakat perlu memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R.

“Kerajaan sendiri telah mengambil beberapa inisiatif dalam rangka melaksanakan titah baginda bagi meredakan isu ini,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, JAKIM telah memanggil pihak bertanggungjawab dalam kes penyalahgunaan kalimah Allah pada stoking dan kasut, 18 Mac serta 8 April lalu untuk tujuan siasatan.

“Kedua-dua pihak juga telah diberi amaran keras untuk memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan di peringkat negeri bagi tujuan itu.

image is not available
Mohd Fared Mohd Khalid - gambar Facebook

Dikenali sebagai Jawatankuasa Bertindak Bagi Menangani Penyalahgunaan Kalimah Allah, Mohd Fared memberitahu, jawatankuasa tersebut dipengerusikan bersama oleh  beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md. Shukor.

“Semua Dewan Perniagaan, Persatuan Perdagangan Dan Kumpulan Industri hendaklah memberikan komitmen yang tinggi dalam menangani isu yang telah berlaku dan supaya tidak berulang.

“Kempen kesedaran masyarakat dalam menjaga kepentingan memelihara kehormatan hidup masyarakat berbilang kaum hendaklah sentiasa disuburkan tanpa menidakkan pemantauan berterusan dari semua agensi penguatkuasaan sama ada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya. - Getaran, 16 April 2024