Tiada Kompromi Untuk Sesiapa Terlibat Belasah Anggota Tentera Hingga Maut - Ahmad Zahid

LocalPolitics
12 Apr 2026 • 10:31 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil susulan kematian seorang anggota tentera berusia 24 tahun, khususnya apabila bukti menunjukkan kewujudan unsur jenayah dalam kes itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku yang dikaitkan dengan kematian Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi.

Tegas beliau, keadilan perlu ditegakkan tanpa sebarang prejudis.

“Saya mengikuti laporan media berhubung insiden melibatkan arwah. Kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia tidak akan berkompromi sekiranya terdapat unsur jenayah.

“Tindakan tegas mengikut lunas undang-undang akan diambil dan kes ini akan dibawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Jelebu di Negeri Sembilan. 

Ahmad Zahid berkata, kerajaan kekal komited memastikan kebenaran ditegakkan serta mengelakkan insiden seumpama itu daripada terus berulang.

Beliau memberi amaran, sebarang bentuk tindakan disiplin melibatkan penderaan fizikal adalah tidak boleh diterima dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Perkara ini mesti dijadikan pengajaran agar semua pihak mematuhi garis panduan sedia ada, dan tindakan disiplin tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, khususnya jika melibatkan penderaan fizikal.

“Semua pihak harus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan tidak menggunakan kaedah di luar garis panduan sedia ada,” katanya.

Allahyarham Amirul Raziq disahkan meninggal dunia pada jam 9.34 pagi semalam, selepas menjalani rawatan selama dua minggu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah akibat kecederaan parah.

Siasatan awal mendapati mangsa dibelasah di kem Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Bentong pada 31 Mac lalu, dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati berhubung tugasan pembersihan.

Menurut kenyataan Unit Perhubungan Awam Tentera Darat, seorang pegawai tidak bertauliah dipercayai menggunakan kekerasan termasuk menampar dan menumbuk tujuh anggota di kem berkenaan.

Insiden terbabit menyebabkan amalan disiplin dalam institusi ketenteraan kembali menjadi isu hangat, dengan pihak berkuasa memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran melibatkan keganasan akan dianggap sebagai kesalahan jenayah serius. - Getaran, 12 April 2026