Tiada Lagi Caj RM1 Di Mesin ATM Bermula 1 Julai, Pengguna Boleh Keluarkan Wang Tunai Percuma Tanpa Had

LocalBusiness & Finance
15 Jun 2026 • 6:40 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Tiada Lagi Caj RM1 Di Mesin ATM Bermula 1 Julai, Pengguna Boleh Keluarkan Wang Tunai Percuma Tanpa Had

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bermula 1 Julai 2026, pengguna semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa lagi dikenakan caj RM1.

Berita ini diumumkan sendiri Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan hari ini (15 Jun).

14,000 ATM & SRM Seluruh Negara Laksana Pengeluaran Tunai Tanpa Caj Bermula Julai Ini

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan ketiga-tiga organisasi terbabit, melalui inisiatif berkenaan, pemegang kad debit di Malaysia boleh menggunakan lebih 14,000 mesin ATM dan SRM di seluruh negara bagi membuat pengeluaran tunai secara percuma tanpa had dan tanpa mengira bank pengeluar kad mereka.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” memetik kenyataan terbabit, lapor Harian Metro.

Wang Tunai Masih Pilihan Rakyat Malaysia Walaupun Ada Pembayaran Digital

ABM, AIBIM dan ADFIM memaklumkan bahawa inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih inklusif dan berpatutan.

Walaupun penggunaan pembayaran digital seperti e-wallet, DuitNow QR dan FPX semakin meluas di negara ini, wang tunai masih memainkan peranan penting dalam urusan harian sebahagian besar rakyat Malaysia.

Baca Artikel Berkaitan: Apple Tap To Pay Kini Tersedia Di Malaysia, Peniaga Boleh Terima Pembayaran Tanpa Terminal Tambahan

Baca Artikel Berkaitan: Rakyat Malaysia Paling Ramai Guna Dompet Mudah Alih Di Dunia

Oleh disebabkan itu, pemansuhan caj pengeluaran tunai RM1 di ATM dilihat sebagai langkah baik kepada akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian pengguna.

Pemansuhan Caj Pengeluaran RM1 Bukti Usaha Sektor Perbankan Sediakan Khidmat Kewangan Yang Praktikal

Langkah ini dalam masa sama menunjukkan usaha berterusan sektor perbankan Malaysia dalam menyokong para pengguna untuk menggunakan perkhidmatan kewangan yang praktikal dan berfokuskan pelanggan.

Bagaimanapun, sektor perbankan negara masih mengalu-alukan orang ramai menggunakan pembayaran secara digital meskipun wang tunai masih merupakan pilihan utama kebanyakan komuniti untuk melakukan pembayaran.

ABM, AIBIM & ADFIM Tetap Akan Promosi Kaedah Pembayaran Tanpa Tunai Yang Selamat

Tambah ABM, AIBIM dan ADFIM, institusi perbankan akan terus memperkukuh dan mempromosikan kaedah pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar serta mudah digunakan dalam urusan harian, seiring dengan peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital.

Industri perbankan juga tetap komited dalam memberi pelanggan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Baca Artikel Berkaitan: Caj Pengeluaran RM1 Antara Bank Di ATM Akan Kembali Bermula Esok, 1 Februari