Jenama terkenal dalam kalangan wanita, Tupperware Brands (Tupperware) yang diisytiharkan bankrap semalam, bersetuju untuk menjual perniagaannya kepada sekumpulan pemberi pinjaman dengan harga AS$23.5 juta (RM102.1 juta) secara tunai dan lebih AS$63 juta (RM273.8 juta) dalam bentuk ‘diskaun hutang’ serta membatalkan rancangan mereka untuk lelongan terbuka aset-aset mereka.
Perkara berkenaan diumumkan semasa pendengaran di mahkamah kebankrapan di Wilmington, Delaware.
Hakim Kebankrapan Brendan Shannon menyatakan bahawa beliau akan segera menjadualkan pendengaran mahkamah yang berasingan untuk mempertimbangkan kelulusan jualan tersebut, yang kemungkinan merupakan hasil terbaik memandangkan “keadaan sukar dan mencabar” yang dihadapi syarikat itu.
Syarikat berkenaan yang beribu pejabat di Orlando, Florida, itu telah memfailkan untuk perlindungan kebankrapan bulan lepas, dengan hutang sebanyak $818 juta dan rancangan untuk mencari pembeli dalam tempoh 30 hari.
Namun, satu kumpulan pemberi pinjaman Tupperware membantah rancangan jualan syarikat itu, sebaliknya ingin menuntut aset-aset tersebut untuk diri mereka sendiri.
“Menerusi perjanjian jualan baharu itu akan membolehkan pemberi pinjaman membeli nama jenama Tupperware dan operasi di pelbagai pasaran Utama,” kata peguam Tupperware, Spencer Winters, semasa pendengaran di mahkamah.
Tupperware menyatakan bahawa mereka akan memfokuskan perhatian awal terhadap pasaran termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Brazil, China, Korea, India, dan Malaysia, dan berhasrat untuk meneruskan ke pasaran Eropah serta pasaran Asia tambahan.
Pemberi pinjaman yang kini bersedia untuk mengambil alih Tupperware termasuk Alden Global Capital, Stonehill Institutional Partners, dan sebuah meja perdagangan di Bank of America.
Jenama berkenaan meledak pada tahun 1950-an apabila wanita generasi pasca perang mengadakan “parti Tupperware” di rumah mereka.
Namun, syarikat itu menyatakan bahawa mereka terlalu bergantung kepada wakil jualan bebas dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mengalami kemerosotan jualan selama bertahun-tahun serta terlepas peluang untuk menjual produk secara dalam talian atau di kedai runcit.
Sumber: Business Standard
The post ‘Tiada lagi parti Tupperware’ – Tupperware diisytihar bankrap, setuju jual perniagaan appeared first on The Reporter.


