
Stesen radio popular, Suria FM mengumumkan beberapa perubahan besar sebagai langkah memperkukuhkan lagi kedudukannya tahun ini.
Dalam satu kenyataan media yang diedarkan pada Isnin, Suria FM memaklumkan bahawa segmen Suria Cinta yang dikendalikan oleh penyampai popular, DJ Lin tidak akan lagi ke udara dari Ahad hingga Jumaat bermula Mei hadapan.
Perubahan ini dilakukan bagi membolehkan DJ Lin yang menggalas dua tanggungjawab besar di Suria FM iaitu sebagai Pengurus Besar dan pengendali segmen ‘Suria Cinta’ memberikan fokus kepada bahagian pengurusan.
Slot ‘Suria Cinta’ akan digantikan dengan segmen baharu yang dikendalikan oleh penyampai, Nur Imanina Mohd Hisham atau lebih mesra dipanggil DJ Iman.

Segmen baharu ini akan menghiburkan pendengar bermula 8 hingga 12 malam setiap Isnin hingga Jumaat.
Segmen ini juga berkonsepkan interaktif dengan pengisian lebih santai serta mengikut trend terkini dalam usaha menarik minat pendengar generasi muda.
Bagaimanapun, peminat segmen ‘Suria Cinta’ tidak perlu jauh hati atau kecewa, ini kerana DJ Lin tetap akan mengendalikan segmen ‘Suria Cinta’ pada setiap hujung minggu, iaitu pada Sabtu dan Ahad bermula jam 8 malam hingga 1 pagi untuk mengubati rindu peminatnya.
Kukuhkan Segmen Hujung Minggu
Demi memperkukuhkan segmen hujung minggu, penyampai Suraya Borhan akan diberi tanggungjawab untuk mengendalikan segmen ‘Suria Hujung Minggu, (6 hingga 10 pagi) dan juga ‘Hello Suria’ (2 petang hingga 7 malam).
“Bersandarkan pengalaman luas Suraya sebagai penyampai dan penerbit, kami yakin dia mampu membawa nafas baru kepada segmen hujung minggu. Perubahan ini adalah sealiran dengan perancangan Suria FM untuk tidak mengabaikan segmen hujung minggu dan dapat menarik minat penaja.
“Bagi tujuan menarik lebih ramai pendengar muda dan baharu untuk ‘Morning Morning Suria’, Kai Hassan akan digandingkan bersama Ajak dan Datuk Fizz Fairuz. Keserasian mereka mampu membawa aura yang lebih segar dan dinamik. Gabungan personaliti unik dan penuh semangat akan disajikan dengan kandungan yang lebih menarik untuk memulakan hari pendengar,” jelas pihak Suria FM.
Sementara itu, Cik Piah kekal mengendalikan segmen ‘Gaya Suria’ dan ‘Muzik Top Suria’ dari jam 10 pagi hingga 3 petang, setiap Isnin hingga Jumaat manakala Sharifah Shahirah atau Kak Rara dan Chiwan kekal mengendalikan ‘Suria Petang’ bermula jam 3 petang hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat. - Getaran, 10 Februari
Foto : Suria FM
