Bermula hari ini, pihak Twitter tidak lagi menawarkan sokongan untuk pengesahan dwi-faktor berasaskan SMS bagi para pengguna yang tidak melanggan Twitter Blue.
Dengan langkah ini, sekiranya anda ingin kekal menggunakan ciri pengesahan dwi-faktor pada akaun Twitter anda, anda perlu melanggan Twitter Blue pada harga bermula RM35 sebulan, atau sekiranya kekal menggunakan akaun biasa, anda perlu menggunakan aplikasi penjana kod seperti Google Authenticator atau Authy.

Disamping itu, anda juga boleh menggunakan kekunci sekuriti khas, tetapi perlu melakukan pembelian untuknya terlebih dahulu.
Bagi anda yang menggunakan Twitter, mungkin boleh menyemak kembali tetapan pengesahan dwi-faktor anda, dan kekal memastikan akaun anda selamat dan tidak terdedah kepada sebarang serangan sekuriti.




