Kerajaan mengambil keputusan untuk merasionalisasikan subsidi dengan menyediakan perancangan baharu untuk tindakan itu bagi mengelakkan ketirisan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelarasan subsidi harus dilaksanakan agar golongan mahakaya dan 3.5 juta warga asing di negara ini tidak menerima manfaat ini, lapor Utusan.
Tiada lagi manfaat subsidi

Selain itu, tindakan merasionalisasikan subsidi ini juga dapat menghentikan ketirisan melalui kegiatan penyeludupan barang.
“Subsidi diteruskan, tak boleh nak potong kerana harga barang melambung, rakyat di bawah akan terkesan.
“Jadi mesti ada penyelarasan supaya golongan yang mahakaya jangan diberi subsidi, orang asing dielak mendapat subsidi supaya ia diberi kepada rakyat memerlukan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Sebagai Menteri Kewangan, beliau sedar kritikan pelbagai pihak terutama dalam penyelaraasn kadar tarif elektrik yang didakwa membebankan rakyat walaupun peningkatan itu hanya melibatkan 10 peratus kumpulan tertinggi (T20).
Artikel berkaitan: Sebahagian M40 Dijangka Tak Dapat Subsidi Bahan Api, Hanya Untuk Golongan Sasaran
Sehubungan dengan pelaksanaan kenaikan tarif kepada kumpulan T20, ia sebenarnya mampu memberikan penjimatan kepada wang kerajaan sehingga RM4.6 bilion setahun.
Tambah beliau, subsidi untuk ayam dan telur yang bernilai RM3.6 bilion diteruskan walaupun ketika ini harga pasaran ayam lebih rendah.

Kaedah ini berbeza sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan dahulu kerana kedua-dua barang ini hanya diberikan subsidi ketika musim perayaan.
Beliau berkata, kerajaan juga mahu memperbaiki pendekatan pemberian subsidi minyak diesel apabila dikesan berlaku ketirisan ekoran kegiatan penyeludupan.
“Sekarang kereta tidak lagi meningkat puluhan peratus, tetapi diesel meningkat puluhan peratus.
“Maknanya ia dibawa keluar dari kapal-kapal laut dan sebagainya dan di sempadan. Sebab itu kita perbaiki pendekatan tentang minyak diesel,” ujarnya.
Menurut Anwar, subsidi di negara merupakan yang tertinggi di dunia dengan nilai RM81 bilion setahun, walaupun beliau dikecam dalam ucapannya ‘bila kita jadi kerajaan hari ini, minyak turun esok’.
“Saya sudah sebut di Parlimen, masa itu tahun 2008 dalam Pakatan Rakyat bersama DAP dan Pas, masa itu harga minyak di Arab Saudi 50 sen.

“Sekarang minyak Arab Saudi RM2.85, negara kita pula RM2.05 bersubsidi. Konteks itu berbeza, bukan saya nak pertahankan, nak turun macam mana?,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menarik perhatian mengenai penarikan subsidi Tabung Haji (TH) kepada golongan T20 kerana selama ini TH menggunakan standard format subsidi kepada semua orang tidak mengira status.
“Saya kata kalau nak haji mabrur tak payah bagi subsidi kepada orang kaya. Kalau pendapat sebulan dia RM100,000, tak payah bagi subsidi.

“Alhamdulilah disambut baik. Mereka yang lain menengah atas, bawah malahan B40 bagi tambahan sedikit lagi (subsidi).
“Jadi saya tak fikir (pendekatan itu) salah, kalau ada orang anggap itu salah beritahulah cara perbaiki yang lain,” ujar beliau.
Sumber: Utusan (Maisarah Sheikh Rahim)
The post Tiada Lagi Subsidi Buat Mahakaya Dan Warga Asing – PM appeared first on Borak Daily.

