Tiada lagi subsidi elektrik, bantuan kewangan haji kepada golongan T20 - PM Anwar
zulfadli
22/05/2023 - 15:07
KUALA LUMPUR 22 Mei - Golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak akan menerima manfaat subsidi bagi penggunaan elektrik serta Bantuan Kewangan Haji, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan untuk mengurus dan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.
"Kita tidak naikkan kadar elektrik, melainkan untuk T20. Untuk T20 sahaja, iaitu rumah-rumah besar yang tidak akan diberikan subsidi elektrik.
"PADU akan dapat menyelaras semua angka yang disebut. Ini sama dengan Bantuan Kewangan Haji, kepada B40 kita tambah. Bagi T20 tidak akan ada lagi tambahan atau pun subsidi daripada kerajaan.
"Mereka harus belanja sepenuhnya kos haji kerana mereka dalam kalangan yang mampu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang ingin tahu dasar-dasar baharu dan drastik yang dilaksanakan semenjak memimpin Malaysia bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko pengucupan ekonomi dunia, lapor Bernama.
Beliau berkata, pengecualian subsidi itu adalah bagi melaksanakan pemberian subsidi yang lebih bersasar. - DagangNews.com


