'Tiada lagi tawa riang Naura selepas kemalangan itu' - Bapa

LocalFamily & Parenting
19 Nov 2024 • 3:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar terakhir Naura yang diambil Mohd El khuwailid ketika mereka sekeluarga di sebuah pusat beli belah di Bukit Jalil, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR - "Ya Allah, anak aku," Demikian ungkapan yang terpacul daripada mulut Mohd El Khuwailid Rahim tatkala melihat anaknya berada dalam keadaan terkulai selepas motosikal dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah kereta di Jalan Puchong menghala Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Mohd El Khuwailid yang merupakan kerani di sebuah bank berkata, ketika kejadian dia bersama isteri Hidayatul Izzah Ghazali dan anaknya Nur Naura Nathifa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan di pusat beli belah berdekatan.

"Kejadian berlaku dengan sekelip mata, saya sendiri tidak menyedari apa berlaku, difahamkan kereta yang melanggar kami itu dari arah belakang.

"Bila saja kami dilanggar, motosikal yang kami naiki terbabas ke sebelah kiri jalan mengakibatkan kami tiga beranak terjatuh, saya tak fikir tentang diri sendiri masa itu, sebaliknya saya segera mendapatkan anak dan isteri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, dia kemudiannya segera memangku anaknya itu yang sudah dalam keadaan tidak bermaya.

"ALLAH sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu, saya tergamam dengan apa yang berlaku, saya cuba kuatkan diri dan hanya mampu berdoa agar keadaannya ketika itu tidak apa-apa.

"Bayangkan tidak sampai beberapa detik saya keluar makan bersama dia dan isteri, bergurau senda dengannya, namun saya lihat dia dalam keadaan yang tidak lagi bermaya," katanya.

Mohd El Khuwailid berkata, kejadian itu memberikan kesan besar terhadap dirinya dan isteri kerana kehilangan anak tunggal mereka.

"Seingat saya, saya hanya tengok sekali sahaja rakaman video kemalangan yang membabitkan kami sekeluarga itu, saya tak sanggup nak tengok berulang kali.

"Kejadian ini mengakibatkan kami kehilangan satu-satunya permata yang kami sayang dan cintai, namun kini semua itu hanya tinggal kenangan buat saya dan isteri," katanya.

Jelas Mohd El khuwailid, anak tunggalnya itu seorang kanak-kanak yang ceria dan mendengar kata dia dan isteri.

"Naura memang seorang yang ceria, dan menjadi pengubat duka serta penghibur hati saya dan isteri, begitu juga dia dengan rakan-rakannya, memang dia sangat disenangi di sekolah.

"Tapi Naura memang tak gemar bergambar, kalau nak bergambar kena pujuk dahulu baru dia mahu, namun masa malam kami bertiga keluar bersama, dia minta saya ambil gambarnya, tak sangka itu permintaannya yang terakhir," katanya.

Dalam pada itu, pemandu kenderaan yang terlibat melanggar motosikal dinaiki tiga beranak itu dihadapkan ke Mahkamah Trafik Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki berumur 31 tahun itu dituduh melanggar sebuah motosikal di Lebuh Raya Bukit Jalil sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun.

"Individu terbabit dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

"Bagaimanapun, lesen milik lelaki itu diarah supaya diserah kepada mahkamah sehingga pelupusan kes sebelum dia kemudiannya dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM12,000," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia manakala ibu bapanya cedera selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta di Bukit Jalil di sini dalam kemalangan kira-kira jam 9.50 malam.

Pemandu kereta terlibat kemudiannya telah tampil ke Balai Trafik Kuala Lumpur, pada Isnin sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.