SEREMBAN - Tiada pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan baharu dapat dilakukan selagi krisis adat membabitkan institusi diraja negeri itu belum diselesaikan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, semua pihak perlu memahami kedudukan semasa dan menghormati proses yang sedang berlaku tanpa campur tangan politik.
Menurutnya, ketika ini masih terdapat konflik dalam institusi diraja Negeri Sembilan membabitkan Yang Dipertuan Besar dengan Datuk-Datuk Undang.
“Kita hormat institusi itu. Kita jangan campur dan tidak boleh masuk campur. Perkara itu mesti diselesaikan dalam institusi tersebut sendiri.
“Tetapi selagi isu dan masalah itu belum selesai, implikasinya tidak boleh ada apa-apa keputusan besar dibuat,” katanya ketika berucap pada ceramah perdana pimpinan utama Pakatan Harapan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu.
Turut hadir Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Beliau berkata, antara keputusan besar yang tidak dapat dilakukan ialah pelantikan Menteri Besar baharu susulan majlis angkat sumpah tidak boleh diadakan.
“Yang kedua, pelantikan mana-mana ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baharu juga tidak boleh dibuat, malah pembubaran Dewan Undangan Negeri juga tidak dapat dilaksanakan.
“Jadi, selagi isu itu belum selesai, tidak timbul mana-mana pihak boleh mengambil alih jawatan Menteri Besar.
“MB sekarang, Aminuddin akan kekal menjadi Menteri Besar dan barisan ahli MMKN sedia ada meneruskan tugas masing-masing,” katanya.
Walaupun begitu, Anthony berkata, semua pihak termasuk jentera parti perlu bersedia segala kemungkinan dan bersiap sedia jika Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
“Kita kena bersedia pada bila-bila masa. Kalau Dewan Undangan Negeri dibubarkan, kita masuk gelanggang, kita lawan dan dapatkan semula mandat rakyat,” katanya.






