Tiada Niat Derhaka, Rozabil Hormati Shahidan Sebagai 'Guru'

Politics
3 Nov 2022 • 12:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rozabil Abd Rahman (kiri) dan Shahidan Kassim

KANGAR - Calon baharu Barisan Nasional (BN) di Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman menganggap penyandang kerusi itu, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai guru yang banyak berjasa kepadanya, dan tidak pernah tersisip niat untuk beliau mencabar, apatah lagi untuk menderhaka terhadap gurunya itu.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di sini, bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian  Arau itu berkata beliau juga tidak mahu dilabel sebagai 'perampas' kerusi panas berkenaan, sebaliknya hanya akur kepada keputusan yang dibuat oleh BN pusat yang meletakkan nama beliau sebagai calon di kawasan parlimen itu.

"Saya maklum bahawa tugas yang diberikan ini amat berat, lebih-lebih lagi Datuk Seri Shahidan telah menyatakan hasrat untuk bertanding di Arau. 

"(Tetapi) saya tidak pernah memasang niat untuk mencabar Shahidan apatah lagi ‘derhaka’ kepada guru yang banyak mengajar saya dalam tentang selok belok politik dan pentadbiran,” katanya.

image is not available
Rozabil Abd Rahman - Gambar Bernama

Rozabil yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Politik Shahidan berkata sebelum dicalonkan beliau terlebih dahulu menghubungi Shahidan bagi memohon restu dan meminta bantuan beliau bagi memastikan kemenangan kekal menjadi milik BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Rozabil yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia Kuala Lumpur (BSKL) berkata beliau akan bersaing secara sihat dan mengelak daripada sebarang konfrontasi bagi mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

“Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik demi memastikan bahawa Arau terus menjadi kubu BN,” katanya.

Pada PRU-14, Shahidan menang dengan majoriti 4,856 undi mengalahkan calon PH-PKR, Datuk Dr Abd Rahman Daud dan calon PAS Datuk Hashim Jasin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU-15, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November. - Bernama