Tiada Pemilihan Semula 53 Cabang, PKR Tumpu PRU-15

Politics
9 Sep 2022 • 5:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Zaliha Mustafa menegaskan dakwaan kononnya 53 cabang parti tersebut terpaksa melakukan pemilihan semula dalam masa terdekat adalah berita palsu - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR menyangkal dakwaan kononnya 53 cabang parti tersebut terpaksa melakukan pemilihan semula dalam masa terdekat.

Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa menegaskan dakwaan berkenaan adalah berita palsu dan mengingatkan anggota parti untuk hanya menerima berita dari sumber sahih.

Menurut beliau, dakwaan terbabit adalah rentetan daripada satu hantaran di media sosial yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan sengaja dikeluarkan untuk tujuan provokasi.

image is not available
Dr Zaliha Mustafa - Gambar Fail Bernama

"Saya memohon supaya anggota PKR bertenang, tidak bertindak dengan sebarang spekulasi dan dinasihatkan untuk hanya menerima berita dari sumber yang sahih.

"Selepas keputusan rasmi dikeluarkan dan Kongres Nasional PKR berlaku dengan lancar pada pertengahan Julai lalu, rata-rata anggota menerimanya dan meneruskan seperti mana kehendak presiden dan pimpinan parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau lagi, kerja di lapangan juga semakin rancak dilaksanakan sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, adalah mustahil beliau selaku Pengerusi JPP tidak dimaklumkan terlebih dahulu dari pejabat setiausaha agung jika benar ada surat dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkenaan perkara itu.

"Apatah lagi saya sendiri berada dalam jawatankuasa yang menguruskan tentang beberapa hal yang ditimbulkan kepada ROS berkaitan dengan pemilihan parti baru-baru ini," katanya. - Getaran, 9 September 2022