Tiada penampakan ubur-ubur beracun di Pangkor: Jabatan Perikanan

17 Aug 2022 • 8:38 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Siasatan awal Jabatan Perikanan Negeri Perak mendapati tiada penampakan ubur-ubur beracun dan berbahaya yang telah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun warga Perancis di Pulau Pangkor pada Isnin.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Noraishah Hashim berkata maklumat tersebut diperoleh hasil siasatan pihaknya ke kawasan pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor hari ini.

“Namun Jabatan Perikanan akan mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan supaya dapat meletakkan papan tanda amaran (awas) kehadiran ubur-ubur berbahaya.

“Pengunjung juga turut diminta agar lebih berhati-hati untuk tidak menyentuh kehidupan tersebut jika terjumpa di laut atau kawasan sekitar,” katanya kepada Bernama dan menambah pihaknya akan memantau kawasan tersebut dari semasa ke semasa untuk tujuan keselamatan.

Dilapor, kanak-kanak tersebut meninggal dunia dipercayai akibat terkena sengatan ubur-ubur semasa mandi di pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor, pada Isnin kira-kira 6.45 petang.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Seri Manjung mendapati punca kematian adalah disebabkan jellyfish envenomation atau pembisaan ubur-ubur dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - Bernama