Tiada pencerobohan! MB Selangor sangkal dakwaan pemaju, kontraktor jadi punca insiden Putra Heights

LocalPolitics
9 Jul 2025 • 8:23 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan tiada sebarang pencerobohan dilakukan oleh mana-mana pemaju atau kontraktor sehingga menyebabkan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya berlaku pada April lalu.

Katanya, kerja pembangunan termasuk pengorekan tanah dilakukan di luar kawasan titik letupan dan telah mendapat kebenaran daripada pihak PETRONAS.

“Namun, PETRONAS meletakkan syarat antaranya melantik panel yang digariskan oleh mereka. Syarikat itu melakukan penggalian di kawasan-kawasan PETRONAS. Hasil daripada cadangan mereka dikelola dan dipantau di bawah tindakan-tindakan PETRONAS.
“Jadi, tidak ada pencerobohan selepas dibenarkan. Syarikat (subkontraktor) yang dianggap senarai hitam juga tidak memulakan kerja,” katanya.

image is not available

MB Selangor sangkal dakwaan pemaju, kontraktor jadi punca

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di bawah Peraturan Tetap 13 (i) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor berhubung insiden letupan paip gas tersebut di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Amirudin turut menggesa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menambah baik pemilihan kontraktor sebelum pelantikan dilakukan, termasuk membuat semakan kelayakan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

image is not available

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan hasil siasatan Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saluran Paip Gas akan dibawa ke persidangan DUN akan datang bagi memastikan ketelusan dan tindakan susulan dapat dilaksanakan.

“Laporan (jawatankuasa teknikal) sudah dibawa ke Dewan dan dibentangkan. Selepas ini jawatankuasa (Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saluran Paip Gas) akan siasat.
“Kita akan bawa (teliti) laporan itu, bagi masa secukupnya untuk disemak kemudian dibahaskan. Yang lebih penting adalah langkah susulan supaya peristiwa ini dapat dielakkan di masa depan,” katanya lagi.

Semalam, Amirudin turut memaklumkan kerajaan negeri bersetuju melantik dua pakar yang dicadangkan pembangkang sebagai ahli jawatankuasa khas itu. Jawatankuasa tersebut akan dianggotai tujuh pakar daripada pelbagai agensi termasuk wakil kerajaan negeri, Persekutuan dan PETRONAS.

image is not available

Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), serta badan berkaitan bagi merangka cadangan undang-undang dan langkah pencegahan jangka panjang.

Sumber: BH Online (Norzamira Che Noh)