Tiada perbincangan mengenai pertemuan GRS, BN, PN dan GPS seperti ditularkan - Armizan

LocalPolitics
21 Jul 2026 • 8:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiada perbincangan mengenai pertemuan GRS, BN, PN dan GPS seperti ditularkan -  Armizan
Armizan

KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dalam kalangan kepimpinannya berhubung dakwaan kononnya gabungan itu mengadakan pertemuan dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Selasa.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat mengenai pertemuan yang ditularkan itu.

"Tiada maklumat berhubung pertemuan yang ditularkan dan tidak pernah ada perbincangan dalam kepimpinan GRS berkaitan sebarang jemputan atau perancangan pertemuan sedemikian," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan masih berbaki kira-kira setahun setengah dan sewajarnya semua pihak memberi tumpuan kepada usaha meneruskan agenda pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Tempoh kerajaan Persekutuan masih berbaki lebih kurang setahun setengah.

"Adalah wajar segala fokus ditumpukan untuk meneruskan agenda pembangunan negara dan ikhtiar meningkatkan kesejahteraan rakyat, apatah lagi negara juga sedang berdepan impak konflik geopolitik global," katanya.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan dakwaan tersebut dan tidak mengetahui sebarang maklumat mengenainya.

Difahamkan, satu mesej tular di aplikasi WhatsApp yang mendakwa pemimpin BN, PN, GPS dan GRS akan mengadakan sidang media bersama pada jam 2 petang Selasa.

Penularan mesej tersebut sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai berlaku penjajaran politik baharu.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved