Tiada Perpecahan Dalam UMNO, Presiden Dan PM Akrab - Noh Omar

Politics
26 Aug 2022 • 9:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Ismail Sabri Yaakob. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar menafikan wujudnya perpecahan dalam parti tersebut dan menegaskan, hubungan kedua-dua pemimpin parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah akrab.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang memberitahu, keakraban Ahmad Zahid dan Ismail Sabri boleh dilihat apabila kedua-dua pemimpin tersebut berbincang bersama terlebih dahulu sebelum memasuki mesyuarat.

image is not available
Noh Omar

"Tiada dakwaan kluster Putrajaya dan WTC (Pusat Dagangan Dunia), tiada. Kita bergerak sebagai satu kem dan kita lihat bahawa kerjasama antara Presiden parti dan Perdana Menteri amat baik sekali.

"Sebagai contoh macam mesyuarat Biro Politik sebelum ini, sebelum mesyuarat, presiden dan PM berdua sahaja. Dia berbincang sesama mereka, baru masuk mesyuarat, jadi ini menunjukkan betapa akrabnya mereka. Mereka berbincang dahulu sebelum sesuatu perkara dibincangkan dalam mesyuarat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Karnival Usaha Niaga Keluarga Malaysia di Odeon Walk, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada UMNO ketika ini memandang ke depan menuju PRU-15 dan tidak terganggu dengan beberapa isu tertentu yang  didakwa membelenggu parti.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menolak sebarang dakwaan kononnya wujud gesaan agar Ismail Sabri meletakkan jawatan.

“Tak ada kena mengena,” katanya ketika ditanya sama ada langkah kerajaan mengadakan pembentangan Bajet 2023 itu dibuat susulan tekanan pihak tertentu. - Getaran, 26 Ogos 2022