Tiada persediaan sambut Ramadan di Gaza tahun ini - Nurul Ain

11 Mar 2024 • 7:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nurul Ain berkongsi keadaan rumah mentuanya di Gaza.

image is not available
Nurul Ain

image is not available
Mohd Hakim

SHAH ALAM - "Selalunya tahun-tahun sebelum ini kami sekeluarga sibuk berkongsi gambar persediaan menyambut Ramadan tapi tidak untuk tahun ini".

Demikian kongsi Nurul Ain Haron, 37, mengenai perkembangan terkini keluarga mentuanya di Gaza menjelang ketibaan bulan puasa kali ini.

**media[2569668]**

Menurut isteri kepada warga Palestin, Mohamed AM Shaat itu, hampir kesemua keluarga suaminya hilang tempat tinggal kesan peperangan dengan rejim Zionis.

"Struktur rumah mentua, adik dan kakak ipar sudah tidak selamat lagi untuk didiami. Boleh roboh bila-bila masa. Baru-baru ini juga tentera Israel ada masuk ke dalam rumah mentua dan koyak al-Quran serta musnahkan semua barang.

"Buat masa ini semua keluarga kami di sana (Gaza) menumpang teduh di pusat perlindungan yang disediakan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Nurul Ain turut berharap agar bulan penuh keberkatan yang bakal disambut umat Islam di seluruh dunia memberi sinar baharu kepada rakyat Palestin yang kini hidup menderita.

Ujarnya, sudah berbulan rakyat di bumi berdarah itu berdepan dengan kepayahan bukan sahaja hilang tempat tinggal tetapi turut berdepan dengan kematian akibat kekejaman rejim Zionis.

"Marilah kita sama-sama berdoa agar bulan Ramadan ini akan menjadi bulan penghujung kepada penderitaan. Bulan kebahagian, kemenangan dan tamatkan pembunuhan beramai-ramai," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, pihaknya akan meneruskan misi bantuan makanan dan perubatan ke Palestin sepanjang Ramadan ini.

**media[2569667]**

Menurutnya, penyaluran bantuan tersebut dibuat secara terus ke Gaza khususnya di Rafah melalui rangkaian kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan di negara bergolak tersebut.

"Alhamdulillah setakat ini bantuan yang kita jalankan bergerak lancar melalui pelbagai usaha termasuk operasi ihsan kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri (KLN). Setakat ini fokus utama kita ialah bantuan makanan dan perubatan," katanya.

Ujarnya, rakyat Malaysia juga diseru untuk terus menyumbang kepada Palestin dengan mengambil keberkatan bulan Ramadan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28