Tiada perubahan terhadap pengeluaran penuh umur 55 dan 60 tahun untuk ahli semasa - KWSP
zulfadli
11/07/2023 - 18:26
KUALA LUMPUR 11 Julai - Tiada pindaan dirancang untuk pengeluaran penuh umur 55 dan 60 untuk ahli-ahli semasa, menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
KWSP memaklumkan, perkhidmatan pengeluaran bulanan KWSP yang sedia ada hanya terpakai kepada ahli yang menyertainya secara sukarela.
Katanya, cadangan pengeluaran mandatori bulanan akan hanya melibatkan ahli-ahli baru, buat sementara ini bagi mereka yang lahir pada atau selepas 2010, serta berdaftar dengan KWSP selepas tarikh pelaksanaan kaedah baru ini.
"Bayaran pertama di bawah kaedah mandatori ini akan dibuat selepas persaraan ahli-ahli ini, yang dijangkakan hanya akan berlaku beberapa dekad dari sekarang.
"Cadangan ini masih sedang diteliti, dan KWSP memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berhubung pengeluaran simpanan akan dibuat dengan pertimbangan yang teliti dan selari dengan komitmen KWSP demi kepentingan masa depan ahli," katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah KWSP, mekanisme pengeluaran mandatori bulanan akan menyelaraskan Malaysia dengan amalan di kebanyakan negara lain, kerana negara ini adalah antara minoriti kecil yang masih membenarkan pengeluaran sekali gus dan bukan berkala.
Pada 6 Julai 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan terbuka kepada cadangan untuk menjadikan pilihan pengeluaran KWSP secara berkala atau bulanan kepada mandatori apabila mencecah usia persaraan 55 tahun.
Katanya, cadangan tersebut ketika ini berada di peringkat akhir. - DagangNews.com



