Tiada PRK Pandan Dan Setiawangsa - SPR

LocalPolitics
21 May 2026 • 11:03 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tiada PRK Pandan Dan Setiawangsa - SPR

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa susulan kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menerima pemakluman daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul menerusi surat bertarikh 20 Mei, berhubung pengisytiharan kekosongan kerusi tersebut mengikut Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, berdasarkan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, Speaker Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kekosongan luar jangka itu tidak perlu diisi.

“Sehubungan itu, tiada pilihan raya kecil akan diadakan bagi kerusi Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa,” katanya, ringkas.

Terdahulu, Johari mengesahkan menerima notis daripada Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung peletakan jawatan mereka sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa, berkuat kuasa Isnin lalu.

Ahad lepas, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan mereka daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Dua bekas menteri itu turut mengumumkan hala tuju politik baharu mereka dalam satu majlis yang diadakan di Petaling Jaya.

Rafizi berkata, surat permohonan pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat pada Isnin, selain notis rasmi keluar parti yang dihantar kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, kedua-dua pemimpin berkenaan turut mengesahkan pengambilalihan Parti Bersama Malaysia (MUP), sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang, oleh pengasasnya, Tan Gin Theam. - Getaran, 21 Mei 2026