Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kebakaran di Bangkok - Wisma Putra

13 Jul 2026 • 1:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kebakaran di Bangkok - Wisma Putra
Sekurang-kurangnya 27 orang maut manakala puluhan yang lain lagi cedera selepas kebakaran berlaku di sebuah bar di kawasan Lat Phrao, daerah Chatuchak, Bangkok. Foto: AFP

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam kebakaran besar yang berlaku di sebuah premis hiburan di Bangkok, Thailand pada awal pagi Isnin.

Menurut Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang memantau rapat perkembangan insiden itu serta berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat warganegara Malaysia yang terlibat.

"Pada peringkat awal ini, kementerian mengesahkan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat kebakaran berkenaan.

"Kedutaan akan terus memantau perkembangan situasi di lokasi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa Thailand melaporkan sekurang-kurangnya 27 orang maut manakala 63 lagi cedera dan dirawat di hospital akibat kebakaran tersebut. Daripada jumlah itu, 22 mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Wisma Putra memaklumkan, pihak berkuasa Thailand turut melancarkan siasatan rasmi bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Bangkok dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular, rakyat Malaysia turut digalakkan mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular.

Orang ramai yang memerlukan bantuan konsular atau berdepan kecemasan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok melalui talian +66 2 340 5720 atau e-mel mwbangkok@kln.gov.my.

Wisma Putra memaklumkan kementerian akan terus memantau situasi semasa dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perkembangan baharu yang melibatkan rakyat Malaysia.

Terdahulu media melaporkan, sekurang-kurangnya 27 orang maut manakala puluhan yang lain lagi cedera selepas kebakaran berlaku di sebuah bar di kawasan Lat Phrao, daerah Chatuchak, Bangkok.

Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt yang melawat lokasi kejadian kira-kira 2.40 pagi berkata, punca kebakaran yang berlaku selepas tengah malam itu masih disiasat pihak polis dan pegawai forensik.

Chadchart berkata, pemerhatian awal mendapati api merebak dengan pantas di bahagian siling, manakala kebanyakan meja dan kerusi plastik di dalam premis itu tidak mengalami kerosakan teruk.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved