'Tiada rasa nak beraya sejak arwah pergi' - Balu anggota FRU

LocalFamily & Parenting
19 Mar 2026 • 10:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Walaupun masih dibelenggu kesedihan, Nur Aini tetap berusaha memastikan tiga anaknya, Muhammad Raqin Najmi, 14; Muhammad Rizqi Nazhan, 10; dan Nur Aqeela Rawida, 7, merasai kegembiraan baju raya baharu seperti kanak-kanak lain.
image is not available
Nur Aini sering berkongsi cerita kebaikan arwah kepada anak-anaknya agar kenangan terhadap insan tersayang itu terus hidup dalam ingatan mereka.
image is not available
Nur Aini akui sepanjang tempoh idah, dia berdepan fasa paling sukar dalam hidup apabila hilang arah dan tidak mampu menguruskan kehidupan seperti biasa.
image is not available
Nur Aini melihat potret kenangan mereka sekeluarga yang dirakam sekitar empat tahun lalu.

IPOH - 'Best kalau ada ayah...'

Luahan polos seorang anak meruntun jiwa seorang ibu yang kini menggalas peranan seorang diri selepas pemergian suami tercinta dalam kemalangan tragis membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, tahun lalu.

Bagi Nur Aini Samiun, 45, balu kepada Allahyarham Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, kata-kata anak bongsunya itu cukup menyentuh hati, lebih-lebih lagi apabila Syawal semakin menghampiri.

Menurutnya, Aidilfitri tahun ini disambut seperti biasa demi anak-anak, namun jauh di sudut hati, perasaan untuk beraya itu seakan tiada sejak kehilangan insan tersayang.

"Saya dah hidup dengan arwah selama 15 tahun. Jadi apa yang kami buat dulu, saya cuba teruskan untuk anak-anak. Tak ada kurang pun untuk mereka... cuma untuk diri saya, memang tak ada rasa nak raya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kinding Raya di sini pada Rabu.

**media[3467967]**

Allahyarham Mohd Roslan merupakan antara sembilan anggota FRU yang terkorban dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan pada Mei tahun lalu, selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori.

Mengimbau kenangan lalu, Nur Aini berkata, arwah suaminya seorang yang serba boleh dan banyak membantu menguruskan persiapan menjelang Aidilfitri terutama menghias rumah dengan lampu raya.

Malah katanya, arwah juga gemar melayan anak-anak bermain bunga api sehingga mereka sering bertanya sama ada mahu membelinya seperti dahulu.

“Kalau nak raya, dia yang potong rumput, pasang lampu, baiki apa yang rosak. Dia memang rajin dan tahu buat semua benda, tak perlu panggil orang luar.

"Di kawasan perumahan ini, ada pertandingan lampu raya. Rumah lain semua sudah pasang, rumah kami yang tiada. Lampu yang ada pun dah rosak, itu pun arwah yang pasang dulu,” katanya.

**media[3467970]**

Walaupun masih dibelenggu kesedihan, Nur Aini berkata, dia tetap berusaha memastikan tiga anaknya, Muhammad Raqin Najmi, 14; Muhammad Rizqi Nazhan, 10; dan Nur Aqeela Rawida, 7, merasai kegembiraan Aidilfitri seperti kanak-kanak lain.

"Tahun ini saya beli baju raya untuk anak-anak sahaja. Saya nak mereka gembira dan merasai suasana raya sepertimana tahun-tahun sebelumnya, ketika ayah mereka masih ada," katanya yang akan menyambut Aidilfitri di kediaman keluarganya di Meru Raya, Ipoh.

Tambah Nur Aini, perkara yang sering dilakukan ketika ini adalah berkongsi cerita kebaikan arwah kepada anak-anaknya agar kenangan terhadap insan tersayang itu terus hidup dalam ingatan mereka.

“Saya selalu cerita ayah mereka macam mana, apa yang ayah buat untuk keluarga. Saya tak nak mereka lupa, walaupun saya tahu mustahil untuk mereka lupa,” katanya.

Suri rumah itu turut berkongsi bahawa, sepanjang tempoh idah, dia berdepan fasa paling sukar dalam hidup apabila hilang arah dan tidak mampu menguruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya memang ‘lost’. Tak nak tengok telefon, tak nak buat apa-apa. Anak-anak pun saya tak layan sangat waktu itu. Lepas habis idah, baru saya sedar saya kena bangkit demi mereka,” katanya.

**media[3467969]**

Kini, katanya, rutin hariannya kembali seperti biasa, termasuk menghantar anak ke sekolah dan menziarahi pusara arwah suami setiap minggu sebagai tanda kasih yang tidak pernah pudar.

“Kalau rindu, saya akan menangis sepuasnya. Lepaskan semua yang terbuku. Bila dah lega, saya bangkit semula. Saya kena kuat sebab anak-anak masih perlukan saya,” katanya.

Allahyarham Mohd Roslan yang cedera parah dalam tragedi tersebut, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, pada hari sama kejadian.

Nahas yang berlaku pada jam 8.51 pagi itu turut mengorbankan Sarjan S Perumal, 44; Koperal Nurit Pandak, 34; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.