Tiada ruang untuk kesilapan, perlu libatkan Gen Z: Fahmi

LocalPolitics
14 Oct 2025 • 12:51 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Landskap media Malaysia kini berkembang pesat mendorong kerajaan memodenkan Akta Bernama bagi memastikan agensi berita nasional itu kekal relevan dan inklusif.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil semasa satu majlis di Wisma Bernama, Kuala Lumpur pada minggu lalu menyatakan kementeriannya membentangkan pindaan terhadap Akta Bernama 1967 (Akta 780) untuk membuat beberapa perubahan yang dirasakan perlu dari segi peruntukan.

“Sebelum ini pelanggan Bernama yang bukan pemilik akhbar tidak boleh dilantik ke lembaga atau terlibat dalam struktur Bernama.

“Tetapi kami melihat keperluan untuk menukar takrifan daripada pemilik akhbar kepada organisasi media.

“Ini membolehkan organisasi media lain yang juga pelanggan Bernama menjadi sebahagian daripada keluarga besar Bernama yang dapat membantu menggerakkan hala tuju agensi ini ke hadapan. insya-Allah,” katanya.

Pindaan terhadap Akta Bernama 1967 itu mengiktiraf bahawa media masa kini melangkaui akhbar tradisional merangkumi pelbagai platform dan format.

Fahmi berkata perubahan trend dalam kalangan Generasi Z, Generasi Alpha dan generasi akan datang telah mengubah cara berita dan mesej disampaikan bagi memastikan khalayak muda terus terlibat.

Beliau berkata perubahan ini dapat dilihat sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Bagi Bernama sebagai sebuah organisasi yang berdikari, berdaya tahan, teguh dan mampan terdapat banyak perubahan yang perlu kita hadapi dan terima.

“Masyarakat meletakkan kepercayaan yang besar terhadap Bernama dan kita tidak mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan dalam penyampaian maklumat,” katanya.

Bagaimanapun Fahmi menegaskan sebarang pembaharuan tidak boleh mengorbankan kualiti, integriti dan etika kewartawanan yang menjadi asas Bernama selama beberapa dekad.

Beliau turut menggesa Bernama agar lebih proaktif memahami keprihatinan rakyat di seluruh negara serta menghasilkan kandungan berita yang tepat, beretika dan relevan untuk semua generasi.

Dalam pada itu majlis tersebut turut menyaksikan pelantikan empat ahli Majlis Penyeliaandan 20 ahli Lembaga Gabenor Bernama yang semuanya dibuat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Antara yang dikekalkan ialah Ketua Editor Kumpulan Daily Express, Datuk James Sarda daripada Sabah Publishing House Sdn Bhd yang terus berkhidmat sebagai ahli tetap mewakili organisasi media dalam Lembaga Gabenor.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azhar Abdul Hamid dilantik sebagai Presiden baharu Majlis Penyeliaan Bernama manakala Datuk Seri Wong Chun Wai dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Gabenor.

Selain itu Fahmi menyerahkan surat pelantikan kepada ahli baharu Majlis Penyeliaan dan Lembaga Gabenor Bernama bagi tempoh dua tahun bermula 1 September 2025 hingga 31 Ogos 2027.

Majlis Penyeliaan yang terdiri daripada lima ahli diketuai oleh seorang presiden bertanggungjawab memastikan Bernama sentiasa mematuhi peruntukan Akta Bernama 1967 dalam melaksanakan objektif dan fungsinya.

Lembaga Gabenor pula yang dianggotai 21 ahli mewakili kerajaan serta pelanggan media Bernama berperanan menyelia pelaksanaan dasar dan prosedur agensi selain memastikan Bernama terus melaksanakan misinya menyampaikan berita yang menyeluruh, objektif dan adil mengenai hal ehwal awam dan kepentingan negara.

Antara wakil media dalam lembaga itu ialah Datin Paduka Esther Ng Sek Yee (Star Media Group), Chan Aun Kuang (Sin Chew Daily), Farah Datuk Hussamuddin (Sinar Harian), Mohamad Sardon Zainal (Sarawak Media Group) dan Azeem Abu Bakar (Free Malaysia Today Media).

Fahmi berkata peluasan keanggotaan lembaga itu akan membolehkan ahli bertukar pandangan serta bekerjasama dalam inisiatif yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Bernama tetapi juga industri media negara secara keseluruhan.

Beliau turut menekankan peranan penting Bernama dalam menganjurkan Hari Wartawan Nasional (Hawana) serta menguruskan Tabung Kasih Wartawan bagi kebajikan pengamal media.

“Saya berharap ahli lembaga yang baharu dilantik dapat meneroka usaha kutipan dana untuk terus membantu pengamal media yang berdepan pelbagai cabaran.

“Maklum balas daripada penerima menunjukkan ada yang memerlukan lebih banyak bantuan. Jika dana tambahan diperlukan apakah mekanisme lain yang ada selain bergantung kepada Jabatan Perdana Menteri? Jadi saya minta Bernama dan lembaga meneliti perkara ini dengan serius,” tambahnya.

Fahmi turut memaklumkan bahawa Majlis Media Malaysia akan mengadakan mesyuarat agung tahunan pada 7 November ini yang disifatkannya sebagai langkah penting ke hadapan.