
Memandangkan Nurul Izzah telah berjaya menjadi pemimpin nombor 2 yang baharu dalam PKR, persoalan yang bermain di benak fikiran orang ramai sekarang ialah sama ada beliau akan mengambil jawatan menteri dalam kabinet.
Keputusan Rafizi dan Nik Nazmi, dua tokoh besar PKR yang tewas dalam pemilihan parti, untuk meletak jawatan sebagai Menteri setelah kalah secara semula jadi mengundang pertanyaan sama ada Nurul Izzah, pemenang terbesar dalam pemilihan PKR, akan mengisi kekosongan jawatan kabinet yang ditinggalkan mereka.
Pemergian dua menteri tersebut, serta langkah terkini oleh Tengku Zafrul, yang juga seorang menteri, untuk meninggalkan Umno demi menyertai PKR, berkemungkinan besar akan menyebabkan rombakan kabinet, kerana Umno telah pun menuntut agar Tengku Zafrul mengembalikan jawatan menteri yang dipegangnya kepada Umno, memandangkan beliau telah keluar dari parti tersebut.
Selain itu, kemunculan Ramanan sebagai naib presiden PKR yang kedua paling popular juga membawa kemungkinan bahawa Ramanan, yang kini berkhidmat sebagai timbalan menteri, akan dinaikkan pangkat untuk menjadi menteri penuh.
Melihat semua perubahan ini, besar kemungkinan Anwar akan menggunakan kesempatan ini untuk membuat rombakan kabinet yang besar, dan dalam barisan baharu beliau, kemungkinan bahawa Nurul Izzah akan mendapat jawatan tinggi dalam kabinetnya sedang hangat diperkatakan oleh rakyat.
Secara peribadi, saya berpendapat bahawa Nurul Izzah sendiri mungkin berasa terganggu, dengan pertanyaan samaada wajarkah beliau mengambil peranan sebagai menteri ?
Saya berpendapat sedemikian, kerana ada sesuatu pada riak dan seri wajahnya, yang membuatkan saya percaya bahawa beliau masih seorang yang ditadbir oleh suara hatinya, dan apabila seseorang itu ditadbir oleh suara hatinya, suara hatinya akan mengganggunya ketika beliau mempertimbangkan sesuatu tindakan yang mungkin tidak sepenuhnya diizinkan oleh suara hatinya.
Nurul Izzah mungkin sedang mempertimbangkan kemungkinan menjadi menteri, walaupun suara hatinya tidak mengizinkannya, kerana dari sudut intelektual, logik dan fitrah, saya yakin bahawa Nurul Izzah boleh mencipta 101 alasan, mengapa mengambil jawatan Menteri adalah keputusan yang betul dan tepat untuk dilakukannya..
Secara fitrah, adalah sifat manusia untuk mencari kuasa, kekayaan, status dan kedudukan. Nurul Izzah telah menang dalam pemilihan PKR secara adil dan telus. Sebelum ini, apabila beliau kalah di kerusi Permatang Pauh pada pilihan raya umum lepas, beliau telah berundur dari jawatan parti dan kerajaan, jadi secara logiknya, dan juga secara adilnya, tiada sebab mengapa beliau harus menolak jawatan Menteri sekarang, apabila beliau berjaya memenangi pemilihan parti.
Dari sudut politik, jika beliau mengambil jawatan kabinet, beliau juga tidak perlu bimbang bahawa tindakan beliau akan mengurangkan sokongan rakyat terhadap kerajaan. Ada penganalisis mengatakan bahawa Anwar kini sedang menghadapi “ujian yang getir” berikutan peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi, serta tindakan Tengku Zafrul meninggalkan Umno dan menyertai PKR, tetapi saya tidak pendapat ini adalah tidak tepat.
Dalam pertimbangan saya, kedudukan Anwar hari ini adalah sangat kukuh, dan kini dengan Nurul Izzah sebagai timbalannya, beliau berada dalam kedudukan yang lebih kukuh lagi.
Orang ramai mungkin cenderung untuk menyokong si pencabar, tetapi yang mereka akan ikut adalah si pemenang. Apa yang pastinya ialah yang mereka akan tolak sepenuhnya mereka-mereka yang di lihat sebagai tewas dan tidak berwibawa.
Anwar dan PH kini adalah satu-satunya pemenang dominan di negara ini. Ramai penyokong PH hari ini mungkin kecewa dan tidak berpuas hati dengan pemerintahannya, tetapi ini tidak mengubah hakikat bahawa beliau adalah satu-satunya pemimpin yang dilihat sebagai berwibawa dan dominan dalam persada politik negara hari ini.
Pembangkang, iaitu PN, masih jauh daripada mempunyai kemampuan untuk menandingi pengaruh dan kewibawaan Anwar. Oleh itu, walau bagaimana kecewa dan tidak puas hati pun rakyat berasa terhadap pemerintahan Anwar, akhirnya, mereka akan tetap berdiri dibelakang pemerintahan Anwar, kerana Anwar seorang sahaja yang kelihatan sebagai juara dan pemenang dalam kancah politik negara.
Walaupun saya fikir tindakan Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan kabinet adalah satu keputusan yang bermaruah dan berprinsip, dari segi persepsi dan realpolitik, saya rasa tindakan mereka akan akan menyebabkan mereka dikategorikan sebagai golongan yang “kalah” atau “tidak berwibawa”. Dalam erti kata lain, saya berpendapat bahawa tindakan mereka mungkin akan menjadikan mereka dilupakan dan tidak releven dalam arena politik negara.
Saya juga berfikir bahawa walau merajuk dan marah mana pun Umno atas tindakan Tengku Zafrul meninggalkan Umno untuk PKR, kemarahan mereka akan surut secara semulajadi dalam seminggu dua yang akan datang, dan mereka sendiri akan berjaya memujuk diri mereka untuk merelakan pemergian Tengku Zafrul.
Walau apa pun yang dikatakan para penganalisis politik yang lain, saya yakin bahawa selagi tiada apa-apa yang mengejutkan berlaku, Anwar dan PH lah yang berkemungkian besar akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang.
Jadi, apa masalahnya jika Nurul Izzah mengambil jawatan kabinet, anda tanya?
Masalahnya ialah semua penjelasan yang saya beri, tentang mengapa tiada siapa boleh menyalahkan Nurul Izzah untuk mengambil jawatan kabinet dan tiada sebab mengapa beliau tidak patut berbuat demikian, adalah jenis penjelasan yang telah biasa kita dengar dari pemimpin- pemimpin generasi lama, khususnya generasi Mahathir, untuk menghalalkan segala tindakan dan keputusan mereka.
Mahathir sentiasa ada penjelasan untuk segala yang dilakukannya – walau betapa tidak berprinsip pun tindakannya, secara logik, perundangan dan intelektual – beliau sentiasa mampu mempertahankan tindakannya.
Nurul Izzah dikenali sebagai Puteri Reformasi. Beliau sendiri pernah menyatakan hasrat untuk meneruskan perjuangan reformasi.
Antara matlamat utama reformasi, seperti yang kita semua maklum, adalah untuk memperbetulkan kesilapan, salahlaku dan kepincangan dalam amalan dan kepercayaan rejim lama, dan salah satu perkara yang terpenting yang dilakukan oleh pergerakkan reformasi, untuk memperbetulkan salahlaku, kepincangan dan kesilapan lama, adalah untuk mengembalikan tadbir urus yang berpandukan suara hati (conscience) ke dalam sistem pemerintahan negara. .
Untuk mengembalikan pentadbiran yang berpandukan suara hati, daripada menekan dan mendiamkan suara hati secara paksa dengan menggunakan keupayaaan intelek dan logik secara keras, seseorang harus jujur dengan dirinya sendiri dan memastikan bahawa walau setinggi mana pun keinginanannya untuk mengejar kepentingan diri, dia tidak sama sekali akan mengejar keinginan di hatinya di luar batasan prinsip.
Kita semua mahukan kuasa, wang, darjat, kekayaan dan pengiktirafan.
Tetapi, jika kita mempunyai suara hati, walaupun kita tidak akan menyalahkan diri kita sendiri kerana menginginkan kuasa, kedudukan , pangkat atau kekayaan, kita tidak akan keterlaluan atau bertindak sewenang-wenang, untuk menghalalkan keinginan kita.
Sebaliknya, kita akan mengawal keinginan kita, dan memastikan bahawa bertapa ingin pun kita terhadap sesuatu, kita hanya akan memenuhi keinginan itu jika kita benar layak memenuhi keinginan itu.
Saya fikir adalah adil dan wajar untuk Nurul Izzah menjadi nombor 2 dalam PKR. Saya rasa beliau benar-benar layak untuk memegang jawatan nombor 2 dalam PKR.
Namun untuk jawatan kabinet, saya rasa beliau patut tunggu sehingga beliau memenangi pilihan raya kecil, atau memimpin partinya untuk menang dalam pilihan raya umum yang datang, sebelum beliau boleh mengatakan bahawa bahawa beliau benar-benar layak untuk menjadi seorang Menteri.
Sejujurnya, saya juga berasa bahawa inilah juga yang sedang dikatakan oleh suara hatinya.
Apa yang tinggal ialah untuk beliau memilih samada beliau akan menurut nasihat suara hatinya, walaupun ianya membelakangkan kepentingan diri beliau, atau menggunakan keupayaan intelek dan logik beliau, untuk menghalalkan keinginan dan kepentingan diri beliau, walaupun beliau terpaksa menekan dan mendiamkan suara hati beliau.
Marilah kita tunggu dan lihat, apakah dia keputusan Puteri Reformasi kita.
TheRealNehruism (nehru.sathiamoorthy@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.


