'Tiada siasatan dua darjat' - SPRM tolak dakwaan Guan Eng

LocalPolitics
27 Nov 2026 • 8:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Tiada siasatan dua darjat' - SPRM tolak dakwaan Guan Eng
Dakwaan tersebut adalah sama sekali tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan SPRM. Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan Penasihat DAP, Lim Guan Eng bahawa agensi ini mengamalkan siasatan secara dua darjat (double standard).

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, dakwaan tersebut adalah sama sekali tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan SPRM dalam melaksanakan setiap siasatan.

Menurutnya, untuk makluman, SPRM telah memulakan siasatan berhubung isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang melibatkan sebuah kementerian pada 7 Oktober lalu.

"Sehingga kini, seramai 20 orang saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

"Siasatan masih diteruskan dan SPRM sedang meneliti segala maklumat serta keterangan yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek berkaitan perkara ini disiasat secara menyeluruh," katanya pada Jumaat.

Tambahnya, SPRM menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran.

Jelas kenyataan itu, namun demikian, sebarang dakwaan atau kenyataan yang dibuat hendaklah berlandaskan fakta yang sahih dan disampaikan secara bertanggungjawab, bukannya berdasarkan persepsi atau andaian semata-mata.

Justeru, SPRM menegaskan bahawa setiap siasatan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu.

"SPRM kekal komited untuk menjalankan tanggungjawabnya secara profesional, bebas, adil dan telus demi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang sentiasa dipelihara," ujarnya.

Pada Khamis, Guan Eng dilaporkan berkata, agensi berkenaan dilihat mengambil tindakan segera terhadap kes membabitkan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), namun tiada tindakan sama berhubung isu perbelanjaan berlebihan RM2.1 bilion oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved