Tiada Unsur Hubungan Sejenis! RTM Hentikan Siaran Animasi ‘Santiago of the Seas’

LocalFamily & Parenting
17 Nov 2025 • 7:39 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghentikan sementara siaran siri animasi Santiago of the Seas di TV2 selepas menerima aduan penonton berhubung kandungan episod 22 yang disiarkan pada jam 10 pagi semalam.

image is not available

RTM Hentikan Siaran Animasi

Menurut Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran, RTM mengambil maklum pandangan orang ramai dan melakukan penilaian terhadap kandungan siri animasi tersebut.

“Berdasarkan laporan Penilaian Kandungan dan semakan yang dilaksanakan, tiada perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis, mahupun sebarang elemen yang menjurus ke arah itu.
“Namun, bagi memastikan tiada elemen yang boleh menimbulkan keraguan atau sensitiviti masyarakat, RTM menghentikan siaran animasi berkenaan untuk membuat penelitian lanjut keseluruhan kandungan siri itu,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available

Terdahulu, tular hantaran di media sosial oleh seorang pengguna aplikasi Threads yang mendakwa melihat babak dua lelaki bercium ketika menonton bersama anaknya, sekali gus menimbulkan reaksi pelbagai dalam kalangan warganet.

image is not available

RTM menegaskan komitmen untuk memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran serta tidak menimbulkan ketidaksenangan mana-mana pihak.

“Sehubungan dengan itu, RTM memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menimbulkan spekulasi yang tidak wajar serta merujuk terus kepada RTM bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Sumber: FB RTM – Radio Televisyen Malaysia

The post Tiada Unsur Hubungan Sejenis! RTM Hentikan Siaran Animasi ‘Santiago of the Seas’ appeared first on Borak Daily.