
Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah mengakui rasa “terpinggir” dalam pembentukan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan berikutan tiada seorang pun daripada tujuh Ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri penuh.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata hanya dua menteri yang mewakili negeri itu, iaitu masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) selaku komponen Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, jumlah itu terlalu kecil dan tidak seimbang berbanding Sarawak yang diberi lima portfolio, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua.
“Pembentukan Jemaah Menteri baharu kerajaan perpaduan ini nampaknya menyaksikan Sabah dipinggirkan dalam pelantikan portfolio, khususnya wakil BN Sabah yang memberikan komitmen awal bersama BN pusat untuk menyokong PH menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.
“Tiada seorang pun wakil dari BN Sabah dalam Jemaah Menteri baharu ini. Berbanding Sarawak, mereka ada lima menteri,” katanya dalam kenyataan.
BN Sabah memenangi paling banyak kerusi Parlimen di Sabah, dengan tujuh kerusi pada PRU15, diikuti GRS (6), PH (5), Warisan (3), Bebas (2) serta masing-masing satu bagi Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Malah, BN Sabah turut menyumbang kerusi kedua terbanyak selepas BN Johor daripada 30 kerusi dimenangi BN di seluruh negara.
Bung Moktar, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berharap “peminggiran” itu bukan petanda negeri itu akan kurang mendapat perhatian kerajaan persekutuan, khususnya dalam aspek pembangunan.
“Kita tidak mahu Sabah sekali lagi ketinggalan dalam aspek pembangunan terutama pelaksanaan projek infrastruktur yang penting untuk kemudahan rakyat negeri ini.
“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah umpamanya mesti diteruskan dan dipercepat. Kita tidak mahu melihat projek ini sekali lagi tergendala seperti yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan pada 2018,” katanya.
Katanya, Sabah juga memerlukan perhatian kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih yang menjejaskan rakyat di seluruh negeri ini, selain masalah bekalan elektrik dan jalan luar bandar.
Perdana Menteri pada Jumaat mengumumkan barisan Jemaah Menteri yang terdiri daripada 28 menteri, termasuk dua timbalan perdana menteri yang masing-masing disandang Ahli Parlimen Bagan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mewakili BN dan Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sabah hanya diwakili Ahli Parlimen Penampang Ewon Benedick (PH-Upko) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dan Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali (GRS) yang memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

