
SABAH tegas dalam pendiriannya untuk mengekalkan sempadan wilayahnya, termasuk wilayah kontroversi Ambalat di luar Pulau Sebatik, dekat Tawau, yang dikongsi oleh Malaysia dan Indonesia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata Malaysia dan Indonesia komited untuk menyelesaikan isu persempadanan sempadan darat dan laut secara menyeluruh.
“Setakat ini, tiada sebarang persetujuan dibuat melalui mesyuarat dua hala berkaitan Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi.
“Kerajaan Negeri telah terlibat secara aktif dalam mesyuarat yang diketuai oleh Kementerian Luar Negeri,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang-Warisan) yang meminta penjelasan mengenai rundingan dengan Indonesia berhubung Sebatik di bawah Perjanjian Laut Sulawesi pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di Kota Kinabalu pada 27 November.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap rundingan atau cadangan membabitkan persempadanan sempadan Sabah, Malaysia dan Indonesia dibentangkan dan dirujuk kepada Kabinet Sabah terlebih dahulu bagi mendapatkan asas perbincangan, hala tuju dan keputusan.
“Kerajaan Negeri bertegas dengan pendirian bahawa persempadanan Sabah di Sebatik adalah di garisan sempadan memanjang sepanjang 4°10’ bermula dari Tiang Timur ke Talian Air Rendah di sebelah timur pulau itu.
“Sempadan maritim yang ditandatangani melalui Perjanjian Laut Sulawesi yang hanya melibatkan 12 batu nautika tidak mendatangkan kerugian kepada Negara.
“Rundingan penetapan sempadan maritim bagi kawasan melebihi 12 batu nautika sehingga 200 batu nautika di Laut Sulawesi (dalam kawasan ND6 dan ND7), iaitu Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ), masih belum bermula.
“Sempadan melibatkan Sebatik iaitu kawasan ‘Intertidal’ masih dalam rundingan,” katanya.
Beliau menambah, rundingan terbaru menerusi Mesyuarat Teknikal Khas (STM) pada 16-17 Nov di Tangerang, Indonesia, berakhir tanpa sebarang perkembangan kerana kedua-dua pihak kekal dengan pendirian masing-masing.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar Negeri mengetuai Malaysia dalam rundingan itu.
Kerajaan Negeri, kata Hajiji, diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Sabah, Setiausaha Dalam Negeri dan Penyelidikan, dan Pengarah Tanah dan Ukur.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
