‘Tiba masa sokong produk hiliran tempatan’

LocalBusiness & Finance
7 Apr 2025 • 3:53 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Jonathan Nicholas

PUTATAN: Ketegangan perdagangan global dan kenaikan tarif yang semakin meningkat kini mengancam ekonomi Malaysia dan pemimpin tempatan menggesa agar produk hiliran tempatan diberi sokongan serta promosi yang lebih kuat bagi mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas Mohd Isquzawan Israq menekankan kepentingan memperkasa industri tempatan serta menggalakkan pengguna beralih kepada jenama keluaran tempatan.

“Dengan kenaikan tarif terhadap barangan import terutamanya dari negara seperti Amerika Syarikat sudah tiba masanya untuk kita lebih bijak dalam membuat pilihan.

“Produk tempatan kini mampu menawarkan kualiti dan nilai yang setanding, apa yang mereka perlukan adalah sokongan kita,” katanya kepada pemberita semasa Rumah Terbuka Hari Raya di kediaman keluarga Sedi di Petagas.

Memberi contoh pertambahan pelbagai jenama minuman tempatan, katanya, masih ramai pengguna yang terlalu setia kepada jenama import kerana pengiktirafan jenama yang sudah lama bertapak, walaupun terdapat pilihan setanding di pasaran.

“Ramai orang masih fikir tentang Milo bila nak minum coklat, walaupun jenama tempatan menawarkan rasa dan kualiti yang setara. Sebab itu kita perlu ubah cara fikir pengguna dan tingkatkan kesedaran tentang kelebihan produk tempatan,” tambahnya.

Beliau turut menggesa kerajaan agar memperhebatkan usaha memperkukuh ekosistem produk tempatan, termasuk dengan menyediakan sokongan kewangan, bantuan pengiklanan dan saluran pengedaran yang lebih baik bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersaing di peringkat lebih besar.

“Isunya bukan pada kualiti – tetapi pada keterlihatan dan akses. Jika produk tempatan lebih mudah didapati dan dipromosikan dengan baik, orang ramai akan memilihnya,” katanya.

Pengguna juga digalakkan untuk membuat keputusan pembelian yang lebih bijak, dengan mengutamakan jenama tempatan bagi membantu merangsang ekonomi domestik, mencipta peluang pekerjaan dan mengukuhkan daya tahan ekonomi jangka panjang.

“Ini bukan sekadar soal jimat duit, ini soal membina Sabah yang lebih kukuh dan Malaysia yang lebih kuat. Menyokong produk hiliran tempatan adalah satu pelaburan untuk masa depan kita,” tambahnya.

Bapanya Datuk Seri Arsit Sedi, seorang usahawan ternama dalam bidang pertanian dan perikanan di daerah ini, memberi amaran bahawa kesan tarif Amerika Syarikat terhadap Malaysia akhirnya akan membebankan pengguna melalui kenaikan harga.

“Bila tarif dikenakan, rakyat yang menanggung. Harga naik, ekonomi terjejas,” katanya, sambil menambah dasar-dasar yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Donald Trump memberi kesan besar kepada negara-negara seperti Malaysia, terutamanya yang mempunyai hubungan erat dengan China.

Beliau mengkritik Trump kerana terlalu mementingkan kepentingan Amerika tanpa mengambil kira kesan global. Walaupun subsidi kerajaan boleh membantu meredakan kesan, beliau memberi amaran bahawa ia bukanlah satu penyelesaian jangka panjang.

“Tapi kerajaan tak boleh beri subsidi selama-lamanya. Bila subsidi dihentikan, rakyat akan terasa beban sepenuhnya. Tarif-tarif ini memang tak masuk akal dari sudut ekonomi,” katanya sambil menggesa pemimpin Amerika Syarikat supaya mempertimbangkan kesan yang lebih luas.

View Original Article