
KUALA LUMPUR - Dunia perlu bertindak dengan langkah yang nyata dan berani dalam menangani kezaliman Zionis ke atas Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk menamatkan hubungan diplomatik serta perdagangan dengan rejim Zionis Israel, sehingga kekejaman dihentikan dan hak Palestin dipulihkan.
Menurut beliau, kecaman tidak memadai untuk menghentikan kegilaan Zionis dan sekadar kenyataan belum cukup menghentikan bedilan roket serta peluru berpandu.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha.
“Ia bukan sahaja satu pencabulan kedaulatan Qatar, malah satu tindakan rakus dan biadab yang melanggar tatanan undang-undang antarabangsa, serta provokasi berbahaya yang mengancam kestabilan dan keselamatan rantau,” katanya.
Tegas Perdana Menteri, Qatar di bawah kepimpinan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, telah memainkan peranan besar sebagai perantara perdamaian.
“Menyerang Doha bererti merobek usaha mulia tersebut, dan ia mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua, seluruh dunia Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa yang mendambakan keamanan,” katanya.

Anwar menarik perhatian, Gaza pada masa sama terus ditenggelami darah dan runtuhan.
“Kediaman dimusnahkan, hospital dibedil, anak-anak tidak berdosa menjadi mangsa korban.
“Israel kini tidak lagi menyembunyikan niatnya, menolak kewujudan negara Palestin, mengisytiharkan satu bentuk apartheid kekal, serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri,” katanya.
Malaysia jelas beliau lagi, berdiri teguh bersama Qatar, Palestin dan setiap bangsa yang mendambakan keadilan serta keamanan.
“Inilah saatnya untuk kita bukan sahaja bersuara, tetapi bertindak.
“Semoga Allah SWT mengurniakan keberanian untuk kita melawan kezaliman, serta kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dan maruah umat,” katanya.
Perdana Menteri berangkat ke Qatar atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam semalam.
Sidang kemuncak tersebut diadakan susulan serangan Israel ke atas negara itu 9 September lepas.
Serangan oleh kira-kira 15 jet pejuang Zionis itu dibuat ke atas kawasan dikenali sebagai Leqtaifiya.
Ia mengorbankan enam mangsa, termasuk anak kepada pemimpin kanas Hamas, Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sementara pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat. - Getaran, 16 September 2025


