Tiba masanya pemain remaja sertai kejohanan senior

1 Mar 2023 • 2:26 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya pemain remaja diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka dalam kejohanan senior.

Ketua Pegawai Ekskutif Akademi Badminton Malaysia (ABM) Michelle Chai (gambar) berkata idea berkenaan adalah antara cadangan dikemukakan oleh bekas jaguh-jaguh badminton negara dalam mesyuarat Panel Penasihat Teknikal ABM yang julung kali diadakan semalam.

Michelle berkata langkah itu sangat penting untuk membantu pemain remaja merasai pengalaman bermain pada peringkat tertinggi, seperti yang telah diamalkan oleh beberapa negara lain yang menghantar pemain muda mereka ke kejohanan senior.

“Jika anda berusia 16 tahun di sini, anda masih junior dan bermain dalam kejohanan remaja sahaja, anda perlu menunggu untuk naik senior baru main (dalam kejohanan) senior, oleh sebab itu, jika ada seseorang yang kelihatan berbakat, anda mungkin membawanya berlatih sekali-sekala dengan skuad senior atau menghantar mereka bermain untuk kejohanan senior.

“Saya gembira pemain-pemain legenda ini mengutarakan idea tersebut..” katanya dan menambah idea itu selari dengan pendapat ABM.

Justeru, Michelle berkata beliau akan berbincang lebih lanjut dengan Ketua Jurulatih Perseorangan Remaja Datuk Misbun Sidek dan pengendali beregu remaja Rexy Mainaky mengenai bagaimana mereka boleh menerapkan idea itu dalam perancangan mereka.

Beliau berkata mereka juga terbuka kepada idea untuk menjemput pemain remaja berbakat yang ditemukan dalam kejohanan tempatan untuk berlatih di ABM, Bukit Kiara, di sini, ketika cuti sekolah, bagi memberi mereka pengalaman berlatih bersama kem kebangsaan.

Selain itu, Michelle menyifatkan mesyuarat semalam amat bermanfaat susulan pertukaran idea antara anggota panel termasuk pemain legenda dengan ABM, terutama dalam mencari jalan merapatkan jurang antara pemain kebangsaan dengan pemain terbaik dunia.

Panel penasihat itu ditubuhkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal bulan lepas bagi menambah baik prestasi skuad kebangsaan.

Panel tersebut dianggotai tujuh pemain legenda badminton negara iaitu Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Datuk Seri Jalani Sidek, Datuk Cheah Soon Kit, Roslin Hashim dan Ong Ewe Hock.

Ia turut dianggotai Naib Presiden BAM Datuk Teoh Teng Chor dan Datuk Ng Chin Chai, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan bekas Ketua Pengarah MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz. -Bernama