“Tiba-tiba kaki kanan hilang kuasa” – Tun M imbas detik cemas jatuh di rumah

LocalHealth & Fitness
14 Apr 2026 • 8:41 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Tiba-tiba kaki kanan hilang kuasa” – Tun M imbas detik cemas jatuh di rumah

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, berkongsi pengalaman mencemaskan apabila beliau terjatuh di kediamannya pada 6 Januari lalu hingga mengalami kecederaan serius.

Menerusi podcast di saluran YouTube ChedetOfficial, Tun M menceritakan kejadian itu berlaku secara tiba-tiba ketika beliau sedang melakukan senaman berjalan.

“Terus jatuh, memang sakit”

Menurut beliau, kaki kanan secara tiba-tiba hilang kekuatan sebelum menyebabkan beliau rebah.

“Saya sedang buat senaman berjalan, tiba-tiba kaki kanan saya hilang kuasa dan saya terjatuh.

“Bila jatuh tu ada patah tulang pinggul dan saya juga luka sikit di kepala. Tapi memang amat sakit, jadi saya dibawa ke Institut Jantung Negara,” katanya.

Tambah beliau, pihak hospital berusaha mengurangkan kesakitan, namun ia bukan sesuatu yang mudah.

“Mereka cuba kurangkan sakit tapi susah nak kurangkan, rasa cukup sakit,” ujarnya.

Sakit beransur reda, tapi kaki masih lemah

Tun M menjelaskan, kesakitan yang dialami mula berkurang selepas beberapa hari.

“Antara tulang kaki dengan pinggang ada sendi, sendi itu retak, jadi sakitlah,” katanya lagi.

Kini, selepas hampir tiga bulan berlalu, beliau dilaporkan sudah sembuh dan mampu berdiri seperti biasa.

Namun begitu, beliau mengakui fungsi kakinya masih belum pulih sepenuhnya.

“Macam tak ada kaki,” katanya ringkas menggambarkan keadaan tersebut.

Kejadian awal tahun

Untuk rekod, pemimpin berusia 100 tahun itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara pada 6 Januari lalu selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya di The Mines, Seri Kembangan.

Beliau disahkan mengalami patah tulang pinggul kanan dan menjalani rawatan rapi serta pemantauan berterusan oleh pakar perubatan.

Sepanjang tempoh itu, Tun M juga dilaporkan menjalani proses rehabilitasi bagi membantu memulihkan pergerakan serta kekuatan fizikalnya secara berperingkat sebelum kembali mampu berdiri seperti sekarang. – The Malaysian Update

The post “Tiba-tiba kaki kanan hilang kuasa” – Tun M imbas detik cemas jatuh di rumah appeared first on The Malaysian Update.