TicWatch Pro 5 Enduro telah diumumkan secara rasmi untuk kegunaan sukan lasak dan mencabar. Ia menjadi tambahan terkini untuk siri TicWatch Pro yang sudah semestinya berbeza berbanding versi standard sebelum ini.


Model kali ini dilengkapi tombol berputar dan butang fizikal lebih besar bagi memudahkan penggunaan. Hal ini menjadikan tubuhnya lebih berat 44.8-gram berbanding model sebelum ini. Binaan tubuh juga menggunakan bahan berbeza yang terdiri dengan gentian kaca kristal nilam untuk ketahanan lebih baik. Seterusnya dipadankan dengan tali yang boleh ditukar ganti sebesar 24mm.

Pelbagai fungsi kecergasan dan kesihatan seperti kiraan langkah, kalori dibakar, tahap oksigen dalam darah, kadar denyutan jantung (dengan AFib) dan sebagainya boleh digunakan melalui sensor terbina. Fungsi pemantauan tidur juga kini lebih baik dengan kebolehan mengesan dengkuran. Mobvoi juga melengkapkan mod sukan terbina dengan ciri dipanggil TicExercise yang membolehkan pengguna memantau kadar denyutan jantung melalui pertukaran warna lampu latar.

Kapasiti bateri juga masih sama dengan sebelum ini namun mampu berfungsi lebih lama sehingga 90 jam dalam mod jam tangan pintar. Ia dilihat lebih lama berbanding 65 jam yang ditawarkan pada versi standard. Perisian WearOS 3.5 dengan gabungan cip Snapdragon W5+ Gen 1, memori 2GB RAM dan storan dalaman 32GB juga digunakan sebagai pelengkap peranti. Harga jualan TicWatch Pro 5 Enduro ialah $349 (~RM1,655) seutas.
