Tidak ada istilah saya ‘kena makan’ pun – Derr Era FM

Entertainment
9 Aug 2026 • 5:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tidak ada istilah saya ‘kena makan’ pun – Derr Era FM

Berganding dengan Haziq Hussni dan Munabella yang lebih berpengalaman dalam Segmen Petang ERA, ada kalanya membuatkan penyampai radio, Derr dilihat sedikit ‘tenggelam’ berbanding dua rakan setugasnya itu.

Mengakui perkara tersebut, Derr tidak menolak dia mempunyai sifat rendah diri selain merasakan dirinya masih baharu dalam dunia penyiaran menyebabkan dia cenderung memilih untuk berada di belakang dan kurang menyerlah ketika ke udara.

Namun, Derr tidak melihat situasi itu sebagai penghalang, sebaliknya masih belajar mencari rentak dan membina keyakinan. Malah, Haziq dan Munabella banyak membantunya memahami selok-belok penyiaran serta membentuk keserasian sebagai satu pasukan.

Ada yang melihat Derr sedikit ‘tenggelam’ apabila bersama Haziq Hussni dan Munabella dalam Segmen Petang ERA. Derr sendiri sedar tentang perkara itu?

Saya masih ada rasa, ‘aku baru lagi, jadi jangan terlalu ke depan’. Sebenarnya, saya tahu perkara itu tidak baik kerana kita terlalu mengecilkan diri. Itu memang antara masalah saya juga.
Saya kena lebih menyerlah, tetapi bukan dengan cara melampau. Maksud saya, kena ke depan dalam cara yang baik. Saya kena lebih memahami selok-belok dunia hiburan sebab saya memang masih lagi melihat dan belajar daripada mereka.

Pernah rasa rendah diri kerana Haziq dan Munabella sudah lebih lama dan dikenali dalam industri?

Selalu. Kadang-kadang saya terfikir, ‘boleh ke aku cakap macam ini? Okey ke tidak?’ Hendak beritahu idea pun ada masanya saya rasa takut. Tetapi mereka sebenarnya okey sahaja. Mereka tidak pernah merendah-rendahkan saya atau mengabaikan idea dan kandungan yang saya berikan.
Masa mula-mula masuk radio, saya memang banyak diam sebab saya tidak tahu bagaimana hendak mencelah atau masuk dalam perbualan. Lama-lama baru saya nampak yang saya kena bercakap juga.Kita kena mainkan peranan dan betul-betul bersama mereka walaupun ada perbezaan umur atau pengalaman. Kita satu pasukan. Jadi, jangan buat diri sendiri ‘dimakan’ oleh orang lain. Memang susah pada awalnya tetapi lama-lama okey kerana dalam radio kita kena ada keserasian.

Image from: Tidak ada istilah saya ‘kena makan’ pun – Derr Era FM

Bagaimana pula Haziq dan Munabella membantu Derr menyesuaikan diri?

Mereka memang banyak membantu. Dari segi pengendalian panel, ketika ke udara, apa yang boleh atau tidak boleh disebut, mereka sangat membantu.
Tidak ada istilah saya ‘kena makan’ pun sebenarnya. Kami saling membantu untuk memastikan pasukan bergerak bersama.
Haziq banyak membantu saya memahami ‘bunyi radio’. Dia sudah lama dalam radio, jadi dia tahu bagaimana radio sepatutnya berbunyi. Muna pula banyak mengajar saya bagaimana hendak membawa diri. Dia cakap, kita kena pandai melakukan perhubungan awam dengan orang.
Saya orang baharu, jadi sayalah yang kena pergi memperkenalkan diri kepada orang lain. Muna banyak mengajar saya ke arah itu, bagaimana hendak membawa diri sendiri dalam industri.

Image from: Tidak ada istilah saya ‘kena makan’ pun – Derr Era FM

Daripada seorang guru sambilan kepada penyampai radio, sebesar mana perubahan yang Derr rasakan?

Memang berubah 100 peratus. Masa jadi guru dulu, kita banyak bergaul dengan budak-budak. Sekarang kita bergaul dengan ramai orang daripada pelbagai latar belakang. Artis-artis pun saya kena temu bual pada waktu petang.
Itu satu cabaran sebab kadang-kadang kita tidak tahu latar belakang seseorang artis. Jadi, sebelum mereka datang, kita kena buat penyelidikan. Sekurang-kurangnya kita tahu apa yang mereka buat, apa yang sedang popular tentang mereka, lagu, filem atau apa sahaja yang terkini pada masa itu.

Derr memang bermula tanpa sebarang asas dalam bidang komunikasi dan penyiaran?

Betul. Kawan-kawan lain ada yang pernah menjadi pengacara majlis atau mengendalikan acara. Mereka sudah biasa dengan orang ramai dan audiens. Saya tidak biasa dengan benda-benda macam itu. Disebabkan itu, pada mulanya saya takut dan agak rendah semangat. Saya fikir orang lain sudah ada pengalaman tetapi saya tidak ada. Disebabkan itulah saya cuba berusaha untuk belajar dan memahami bidang hiburan serta penyiaran dengan lebih mendalam.

Adakah Derr terbuka menerima teguran daripada rakan-rakan lebih senior?

Ya. Saya datang daripada pengetahuan yang hampir sifar tentang bidang ini. Jadi, setiap hari ketika menyertai pertandingan dahulu, saya datang dengan niat hendak belajar sesuatu dan buat lebih baik daripada hari sebelumnya. Setiap kali mereka komen tentang tugasan saya, saya akan rakam dan tulis.
Saya memang mahu belajar sebab sebelum itu saya langsung tidak tahu tentang dunia penyiaran. Kalau lambat belajar, orang tidak mahu kita. Kita akan tertinggal.
Peluang ini pula bukan semua orang dapat, jadi saya kena betul-betul menghargainya dan tunjuk yang saya mahu belajar.

 

The post Tidak ada istilah saya ‘kena makan’ pun – Derr Era FM appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved