KOTA BHARU – Kerajaan Madani perlu diberi peluang lagi untuk meneruskan agenda reformasi dan usaha mensejahterakan rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Beliau berkata, usaha pembaikan atau reformasi perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan agenda pembaharuan kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kalau kita tengok perkembangannya adalah begitu positif dengan pertumbuhan ekonomi negara naik kepada enam peratus melebihi daripada yang kita sasarkan.
“Itu baru satu petunjuk sahaja, kita ada banyak lagi petunjuk menunjukkan bahawa kerajaan ini mesti diberikan peluang untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Pesta Tanglung dan sambutan Hari Malaysia bertemakan Cahaya Tanglung, Semangat Malaysia di Kota Lama di sini pada Rabu.
Turut hadir Pengerusi Gabungan Persatuan Tionghua Negeri Kelantan, Datuk Oie Poh Choon.
Dr Hafidzah mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu podcast baru-baru ini yang menyentuh keperluan memberikan masa kepada Kerajaan Madani untuk melaksanakan reformasi.
Menurut beliau, dalam tempoh pentadbiran kerajaan yang menuju empat tahun menunjukkan kesungguhan kerajaan melakukan pembaharuan dalam aspek tatakelola, ekonomi dan sosial.
Katanya, keadaan ekonomi negara selepas pandemik Covid-19 berada pada tahap sukar ketika kerajaan mengambil alih pentadbiran pada 2023.
“Saya merasakan bahawa tidak ada sebab kenapa rakyat Malaysia tidak pilih Madani dan kami melihat sambutan serta pilihan yang baik kepada rakyat Malaysia adalah untuk memberikan satu lagi peluang untuk Kerajaan Madani ini mensejahterakan rakyat.
“Sebagaimana tema tahun ini untuk Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Madani, Kesejahteraan Dinikmati,” katanya.
Dalam pada itu, Hafidzah berkata, usaha membantu golongan miskin di Kota Lama menunjukkan perkembangan apabila jumlah penduduk yang berdaftar dalam eKasih menurun kepada 499 orang.
Beliau berkata, jumlah berkenaan sebelum ini dianggarkan melebihi 1,000 individu, manakala tiada lagi penduduk dalam kategori miskin tegar berdasarkan angka terakhir yang diterimanya.
“Pelbagai bentuk bantuan kerajaan termasuk dalam meningkatkan pendapatan dan bantuan pendidikan anak-anak ke institusi pengajian tinggi menjadi antara usaha membantu golongan berkenaan.
“Usaha yang berterusan oleh pihak kerajaan, dalam mengurangkan jumlah mereka yang miskin,” katanya.






